OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

20 sekolah terjejas

Sesi pembelajaran membabitkan 20 sekolah di bandar raya ini, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, data berkenaan diperoleh setakat jam 12 tengah hari semalam, namun dijangkakan akan bertambah.

Menurutnya, daripada 20 sekolah yang terjejas, tujuh daripadanya dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), manakala dua dinaiki air dan 11 pula terputus hubungan.

“Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Tebrau dan SK Kampung Maju Jaya di Johor Bahru dilaporkan dinaiki air dan aktiviti persekolahan dihentikan sepenuhnya.

“SK Perigi Acheh di Johor Bahru dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nam Heng di Kota Tinggi serta sembilan sekolah di Kluang dilaporkan terputus hubungan.

“Tujuh sekolah pula kita hentikan operasi kerana memberi laluan untuk dijadikan PPS,” katanya.

MB Johor beri amaran

Kerajaan Johor memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah atau melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia susulan keadaan banjir di Johor semakin membimbangkan berikutan hujan lebat berterusan lebih 24 jam.

Menurutnya, beliau bersama Pegawai Daerah Johor Bahru dan Datuk Bandar Johor Bahru turut meninjau keadaan air sungai di kawasan yang terjejas.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarahkan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir berulang yang sering melanda negeri ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Duka sambut Syawal

Penduduk Kampung Pasir Tebrau, di sini, pasrah dan reda apabila banjir kembali melanda kampung mereka, tahun ini.

Menyifatkan antara banjir terburuk, pekerja swasta Hairul Azim Jasmin, 21, berkata dia sedih apabila kejadian berlaku pada Ramadan dan menjelang 1 Syawal.

Menurutnya, segala persiapan yang sudah dibeli untuk menyambut Aidilfitri termasuk pakaian, langsir dan televisyen baharu tidak dapat diselamatkan.

“Sebagai penduduk, inilah cabaran yang kami perlu tempuhi. Saya dan keluarga hanya sempat selamatkan dokumen penting sahaja, manakala selain daripada itu, semuanya musnah ditenggelami air,” katanya ketika ditemui untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Hairul Azim yang tinggal di rumah itu sejak lahir bersama ibu bapa dan dua beradik lain mendakwa kejadian banjir akan terus berulang kerana sungai semakin cetek dan tiada pembinaan tebing.

“Kami difahamkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), jika hujan berlarutan dua hingga tiga hari, memang akan jadi masalah sebab sungai semakin cetek dan tiada pembinaan tebing dibuat.

“Jadi, kita memang akan alami benda sama. Tahun lepas juga banjir berlaku awal tahun seperti ini dan keseluruhannya musnah,” katanya.

Kampung Pasir Tebrau menempatkan 105 keluarga dengan 54 rumah terdiri daripada penduduk pelbagai usia.

Suri rumah, Zaleha Bachok, 52, berkata hujan berterusan sejak pagi kelmarin membuatkan rumahnya dinaiki air sehingga ke paras dada walaupun berada di kawasan tinggi.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa berbuka puasa di luar apabila air mula naik menjelang petang kelmarin.

“Saya keluar rumah lebih awal kerana hendak selamatkan seorang anak saya yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal.

“Kami redah sahaja air, tetapi ketika itu PPS belum dibuka, jadi saya tunggu sahaja dan terpaksa buka puasa di luar.

“Pagi ini (semalam), apabila air semakin tinggi, jadi semua penduduk sudah diarahkan kosongkan rumah. Saya tunggu suami serta dua lagi anak saya pindah ke PPS,” katanya.

Persiapan raya musnah ditenggelami banjir

Iskandar Puteri: Persiapan Aidilfitri sebuah keluarga di Kampung Skudai Kecil, di sini musnah apabila kediaman mereka tenggelam sepenuhnya, petang kelmarin.

Alfian Marjuni, 55, berkata rumahnya ditenggelami banjir hingga bumbung menyebabkan semua perabot, pakaian, peralatan elektrik termasuk persiapan Aidilfitri yang disediakan sejak awal Ramadan musnah.

Beliau berkata, banjir yang menenggelamkan rumahnya itu adalah kali kedua selepas 19 tahun lalu ketika banjir besar 2006.

Katanya, dalam kejadian terbaharu, dia sedang menyediakan juadah berbuka puasa sebelum menyedari air mula masuk menerusi pintu dapur.

“Saya baru mula memasak juadah berbuka jam 4.40 petang sebelum menyedari air mula memasuki kediaman. Saya terus beritahu suami sebelum kami segera menaikkan barangan elektrik, makanan, pakaian dan dokumen penting ke bahagian tinggi.

“Bagaimanapun air banjir terlalu deras kerana tak sampai setengah jam sudah hampir ke paras dada menyebabkan banyak barangan tak sempat diselamatkan. Kami akhirnya mengambil keputusan menyelamatkan diri.

“Sayu melihat kediaman kami ditenggelami air banjir sehingga hampir paras bumbung semalam (kelmarin). Hari ini (semalam) jiran maklumkan rumah kami sudah tenggelam sepenuhnya,”

katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Skudai, di sini semalam.

Yang hadir sama, Setiausaha Eksekutif Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Datuk Abd Rashid Kasman.

Banjir terburuk

Sementara itu, suri rumah Erniza Erwan, 41, turut sebak apabila rumahnya ditenggelami banjir sepenuhnya.

Katanya, rumahnya ditenggelami banjir kali ketiga selepas banjir besar 2006 dan 2020, yang menyebabkan pelbagai barangan musnah.

“Ini kali kedua insiden banjir berlaku pada Ramadan kerana pada bencana 2020, rumah kami tenggelam masa bulan puasa juga. Saya dan suami baru merancang beli baju raya untuk empat orang anak minggu depan. Tapi sekarang kami perlu gunakan wang yang dikumpul untuk bersihkan rumah dan beli perabot serta peralatan elektrik yang rosak akibat banjir,” katanya.

Penduduk Kampung Pasir Tebrau, di sini, Hairul Azim Jasmin, 21, menyifatkan banjir kali ini yang terburuk dan menyebabkan semua persiapan untuk menyambut Aidilfitri, termasuk pakaian, langsir serta televisyen baharu tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu, di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan menyatakan empat PPS dibuka pada pagi semalam susulan banjir yang melanda Sandakan dan Beluran.

Di Sandakan, dua PPS dibuka di Masjid Nur Iman dan Masjid Nur Hidayah manakala di Beluran pula, PPS dibuka di Dewan Kampung Sungai Nangka dan Dewan Kampung Balaban.

Sesi pembelajaran 20 sekolah terjejas

Sesi pembelajaran 20 sekolah di daerah Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi terjejas akibat banjir, susulan hujan berterusan sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, berkata daripada 20 sekolah yang dilaporkan terjejas, tujuh daripadanya dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dua dinaiki air dan 11 terputus hubungan.

Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Tebrau dan SK Kampung Maju Jaya dekat Johor Bahru dilaporkan dinaiki air dan operasi sekolah dihentikan sepenuhnya.

“SK Perigi Acheh di Johor Bahru dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nam Heng di Kota Tinggi serta sembilan sekolah di Kluang dilaporkan terputus hubungan.

“Tujuh sekolah dihentikan operasi bagi memberi laluan untuk dijadikan PPS menempatkan mangsa banjir,” katanya ketika ditemui selepas melawat PPS di SK Bukit Mutiara, di sini semalam.

Aznan berkata, semua sekolah yang diwartakan sebagai PPS kini dalam keadaan siap sedia memandangkan hujan masih berterusan dengan banjir dijangka memburuk.

“Setiap daerah memang ada sekolah yang diwartakan untuk dijadikan PPS dan diminta bersedia kerana mungkin bila-bila masa akan ada mangsa banjir akan ditempatkan.

“Kita sudah berbincang dengan kerajaan negeri dan Persekutuan supaya PPS membabitkan sekolah bersedia lebih awal jika berlaku banjir.

“Dari segi kerjasama dengan agensi berkaitan, kita sudah lakukan secara berterusan dan akan beri bantuan,” katanya.

Aznan menegaskan, walaupun sesi pembelajaran tidak berlangsung di sekolah terjejas, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) akan dilaksanakan.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search