SUNGAI PETANI – Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani akan memasuki kawasan banjir di Hatyai, Thailand esok bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas untuk pulang ke tanah air.
Pengerusinya, Leong Beng Tat berkata, dalam misi bantuan rentas sempadan itu, pihaknya membawa tiga bot serta bekalan air minuman dan makanan kering.
“Menerusi bantuan pasukan bomba sukarela dari negeri lain, sebanyak lapan bot bersedia digerakkan sehingga 26 November ini,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya telah berhubung dan membuat penyelarasan dengan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan di Selatan Thailand.
“Kita telah memulakan perbincangan dengan agensi berkaitan di Malaysia sejak semalam dan mendapat kelulusan hari ini untuk memasuki Selatan Thailand bagi menjalankan operasi penyelamatan,” ujarnya.
Tambahnya, ramai pelancong Malaysia menghadapi kesukaran mendapatkan bantuan kerana tidak mengetahui saluran kecemasan di Thailand, selain berdepan masalah bekalan elektrik dan air terputus serta gangguan komunikasi.
“Ramai yang terperangkap mula menghubungi saya untuk mendapatkan bantuan dengan sebahagian daripada kami sudah berada di sempadan Malaysia-Thailand sementara menunggu tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
LUMUT – Beberapa kawasan di sekitar Sitiawan dan Seri Manjung, di sini turut terjejas dengan banjir yang melanda sejak petang tadi.
Beberapa rakaman video serta gambar yang tular di media sosial menunjukkan pusat bandar Seri Manjung dan kawasan sekitarnya dinaiki air dengan ada kawasan dinaiki banjir setinggi paras lutut.
Rakaman video tular juga memaparkan arus deras memutuskan laluan Sitiawan-Pantai Remis berdekatan persimpangan ke pantai peranginan Teluk Senangin sekitar pukul 5 petang tadi.
Sementara itu, jurucakap Jawatankuasa Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, mangsa banjir kini mencecah 267 orang mangsa melibatkan 86 buah keluarga.
Katanya, sebanyak enam buah pusat pemindahan sementara dibuka melibatkan tiga buah daerah iaitu Batang Padang, Perak Tengah dan Manjung. – KOSMO! ONLINE
KUALA LUMPUR: Seramai 9,384 mangsa banjir membabitkan 3,362 keluarga direkodkan di tujuh negeri, setakat jam 11 malam tadi.
Berdasarkan laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan terus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 8,224 orang membabitkan 3,011 keluarga yang ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.
Empat daerah itu membabitkan kawasan Tumpat (4,349 mangsa), Bachok (1,487 mangsa), Kota Bharu (2,263 mangsa) dan Pasir Puteh (124 mangsa).
Selain Kelantan, negeri lain yang terjejas termasuk Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sarawak, Selangor dan Perak.
Menurut laman Info Bencana JKM, Terengganu mencatatkan seramai 369 mangsa yang ditempatkan di dua PPS di daerah Besut iaitu di SK Kuala Besut dan SK Pulau Perhentian.
Di Kedah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 404 orang daripada 122 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 356 orang daripada 106 keluarga, petang tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari daerah Kulim itu, ditempatkan di tiga PPS iaitu di Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Naga Lilit dan SK Permatang Tok Dik.
Mangsa banjir di Pulau Pinang ialah 219 mangsa, diikuti Perlis (196 mangsa), Sarawak membabitkan 44 mangsa, Selangor (26 mangsa) dan Perak (10 mangsa).
Berdasarkan rekod taburan pecahan mangsa, seramai 2,877 individu terdiri daripada lelaki dewasa, 3,045 perempuan dewasa, 1,642 kanak-kanak lelaki dan 1,510 kanak-kanak perempuan.
Daripada keseluruhan mangsa, seramai 153 bayi lelaki dan 157 bayi perempuan direkodkan terjejas.
PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turun padang meninjau keadaan semasa banjir serta menyantuni mangsa di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Padang Besar, malam tadi.
Baginda seterusnya menyeru seluruh rakyat Perlis agar sentiasa mematuhi arahan agensi keselamatan serta mengikuti makluman terkini daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kepatuhan terhadap arahan tersebut amat penting bagi memastikan proses pemindahan dan penyelamatan mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan teratur dan selamat.
Baginda turut menekankan keperluan untuk memperkasakan prosedur operasi standard (SOP) bantuan bencana khususnya di kawasan berisiko tinggi serta mudah terputus hubungan.
Ia sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi banjir yang sedang melanda beberapa lokasi di negeri ini.
“Pelaksanaan SOP bantuan wajar diperkemas, terutama bagi menangani isu mangsa terkandas dan terputus akses laluan seperti di Wang Kelian.
“Penggunaan teknologi moden seperti dron juga perlu dioptimumkan bagi tujuan pemantauan serta penghantaran bantuan ke lokasi yang sukar ditembusi,” titah baginda.
Baginda turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan kawasan yang masih berarus deras, berwaspada terhadap kabel elektrik terdedah serta berhati-hati dengan kemungkinan kehadiran haiwan berbisa yang terbawa arus banjir.
Kanak-kanak juga hendaklah dielakkan daripada bermain di kawasan dinaiki air bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Setakat ini, sebanyak 589 mangsa membabitkan 169 keluarga ditempatkan di empat PPS.
Manakala PPS Masjid Nurul Husna, Wang Kelian bukan sahaja menempatkan 150 penduduk tempatan, tetapi turut menjadi tempat perlindungan kira-kira 500 pelancong dan pengembara yang terkandas ketika dalam perjalanan pulang dari Thailand akibat jalan raya terputus hubungan.-UTUSAN
KOTA BHARU: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan "Amaran Banjir" bagi beberapa kawasan di Tumpat, yang dijangka mengalami banjir bermula Khamis dan Jumaat ini.
PRABN dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan status paras air sungai yang diramal meningkat dan melebihi aras bahaya, banjir berkemungkinan berlaku di tiga lokasi dalam jajahan berkenaan.
"Antara kawasan berisiko ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Kelantan meliputi Padang Rokma, Beach Temalang dan Chenderong Batu.
"Turut dijangka terjejas ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Golok di Kampung Kok Kebit dan Taman Sri Bayu," menurut kenyataan PRABN.
Seterusnya, banjir dijangka melanda di beberapa kampung rendah sekitar Sungai Golok termasuk Kampung Pak Keral, Kampung Kok Bedullah, Kampung Nechang, Kampung Pauh Sebanjar, Kampung Neting, Kampung Tujuh, Kubang Sawa, Kajang Sebidang, Telok Jering, Naga Ibu, Pisau Raut, Bendang Pak Yong dan Simpangan.
Sehubungan itu, PRABN dalam kenyataan itu menasihatkan semua penduduk di kawasan terbabit supaya berwaspada, mengikuti arahan agensi pengurusan bencana dan mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang PublicInfoBanjir serta Facebook @PublicInfoBanjir. – BERNAMA
