KOTA BHARU: Seorang calon Sijil Pelajar Malaysia (SPM) terpaksa mengulang kaji pelajaran menggunakan telefon bimbit kerana tidak sempat membawa semua kelengkapan peperiksaan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan rumahnya ditenggelami banjir.
Nik Mohd. Idham Nik Abdul Rahim, 17, berkata, dia dan keluarga terpaksa keluar menyelamatkan diri seterusnya berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang selepas air naik terlalu cepat.
Katanya, situasi itu menyebabkan dia dan keluarga keluar sehelai sepinggang ke PSS tanpa sempat membawa semua kelengkapan peperiksaan.
“Sepanjang di PPS saya mengulangkaji menggunakan telefon, mujurlah di sini ada bekalan elektrik serta capaian internet laju memudahkan urusan pembelajaran.
“Mengulang kaji di sini memerlukan tumpuan yang tinggi dan saya perlu mencari ruang tenang serta bebas daripada sebarang gangguan,” katanya ketika ditemui semalam.
Nik Mohd. Idham yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji berkata, dia lega pakaian seragam dan kelengkapan lain berada dalam keadaan baik.
Katanya, walaupun hatinya masih berdebar memikirkan cabaran yang terpaksa dihadapi itu, dia tetap kekal fokus menghadapi SPM.
Sementara itu, Mohd. Faris Aiman Mohd Azri, 17, berharap banjir surut sepenuhnya dalam masa terdekat.
Katanya, ketika ini dia mengulang kaji menggunakan telefon pintar memandangkan tidak sempat membawa kelengkapan persekolahan kerana air naik terlalu cepat.
“Walaupun ulangkaji guna telefon dan buku tidak sama tapi ia dapat mengurangkan rasa gemuruh untuk menjawab peperiksaan SPM,” ujarnya. – UTUSAN
BUKIT KAYU HITAM: "Kalau boleh kami nak tolong tunda semua kereta rakyat Malaysia yang rosak akibat banjir di Hatyai, Thailand bawa pulang ke sini tetapi kami tidak dibenarkan masuk ke sana buat masa sekarang," kata Mohd Ayman Joshua Abdullah.
Mohd Ayman,39, adalah sebahagian daripada geng trak tunda dari Jitra yang sanggup turun untuk membantu membawa kereta rakyat Malaysia yang rosak akibat banjir di Thailand ke bengkel.
Sejak kelmarin, beliau menerima 16 panggilan daripada rakyat Malaysia yang terkandas dalam banjir di negara itu selepas dia memuat naik hantaran di Facebook (FB) untuk bantuan menunda kereta sehingga ke negara ini.
"Kami cuba untuk masuk ke sana mengikut saluran yang betul tetapi pihak berkuasa di negara itu tidak membenarkan kami masuk kerana keadaan banjir masih belum reda.
"Disebabkan itu, kami menghubungi rakan-rakan trak tunda di Thailand untuk membantu tunda kenderaan rakyat Malaysia yang rosak di sana dan kami akan tunggu di pintu sempadan sebelum pindahkan kereta itu dan bawanya ke bengkel kereta mengikut kehendak pemilik kereta berkenaan.
"Kami akan hantar tak kira di negeri mana pun asalkan kereta yang rosak itu selamat sampai ke bengkel," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd Ayman berkata, setakat ini kira-kira lima kenderaan yang berjaya ditunda dari sempadan Malaysia yang dibawa dari Hatyai ke negara ini semalam yang kebanyakannya dimasuki air.
Rakannya, Azwan Amran, 32, berkata, ini kali kedua beliau terbabit membantu membawa kereta yang terkandas banjir dari Thailand.
Tahun lalu, beliau membawa pulang 10 buah kenderaan yang kebanyakannya mengalami kerosakan pada enjin akibat dimasuki air.
"Banyak panggilan diterima sejak malam semalam dari rakyat Malaysia di Hatyai malah ada yang meminta bantuan supaya menyelamatkan mereka sekeluarga yang terkandas banjir untuk dibawa pulang ke negara ini.
"Ada juga yang telefon hanya sekadar bertanya harga dan ada yang panik melihat air semakin naik. Tetapi kami hanya boleh bantu tunda kenderaan yang rosak sahaja, itu pun bergantung pada keadaan," katanya.
Azwan yang sudah lima tahun bekerja sebagai pemandu trak tunda berkata, semua kereta yang dibawa keluar akibat banjir itu bergantung pada insuran yang mereka pilih sebelum membaiki kenderaan masing-masing.
"Kalau sampai hantar ke Kuala Lumpur ka mana-mana sajalah kami akan pergi hantar sampai ke bengkel," katanya.
KUALA NERUS: Mampu bertahan atau sebaliknya?
Itu persoalan yang timbul dalam kalangan penduduk terhadap struktur binaan Jalan Pantai Batu Rakit, berhampiran Kampung Tanjung, di sini yang sedang dibaiki ekoran perubahan cuaca dengan ombak kuat serta hujan berterusan ketika ini.
Jalan berkenaan sebelum ini mengalami runtuhan sepanjang 280 meter akibat fenomena cuaca buruk semasa musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun lalu dan kerja-kerja pembaikan dimulakan pada April lepas.
Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada awal Oktober lepas namun kejadian runtuhan semula menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup.
Ketika ini, kerja-kerja membaik pulih sedang rancak dijalankan dan dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.
Kebimbangan penduduk sekitar kembali memuncak susulan keadaan benteng yang dilihat seperti tidak stabil ekoran perubahan cuaca sejak beberapa hari lalu.
Seorang penduduk, Mohammad Nazri Razali berkata, keadaan di kawasan benteng itu membimbangkan terutama apabila ombak mula menghakis binaan yang bahru disiapkan semula.
Katanya, struktur benteng kelihatan tidak lagi berada pada kedudukan asal dan berisiko runtuh sekiranya ombak kuat melanda pada bila-bila masa.
“Tengkujuh datang dalam beberapa episod dan saya harap tiada kejadiaan tidak diingini berlaku sepanjang kerja-kerja membaik pulih dilakukan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Wahid Ramli berkata, walaupun runtuhan pada benteng di laluan itu mula dibaiki, keadaan keseluruhan struktur belum meyakinkan termasuk ceracak besi yang dipacak sementara.-UTUSAN.
Ombak ‘telan’ pantai Batu Rakit
- Admin UKK
- Berita
KUALA NERUS – Struktur benteng di Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit di sini, yang sedang dibaik pulih selepas mengalami runtuhan kira-kira dua bulan lalu, sekali lagi diancam hakisan akibat ombak sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Seorang penduduk, Mohammad Nazri Razali, 45, berkata, sejak 13 November lalu, ombak besar mula menghakis sedikit struktur benteng di laluan itu.
“Kami risau kerana ada struktur benteng yang sudah senget. Ia boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja, apatah lagi ketika musim tengkujuh yang dijangka berlarutan hingga Mac tahun depan,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Tanjung semalam.
Mohammad Nazri berharap tindakan segera dapat diambil agensi terlibat bagi menyelamatkan projek Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit yang menjadi antara laluan utama penduduk.
Wahid Ramli, 58, pula kecewa apabila harapan mereka untuk kembali menggunakan laluan itu sebelum ketibaan MTL seperti dijanjikan tidak kesampaian.
Katanya, runtuhan sebahagian struktur benteng pada akhir September lalu sudah cukup mengejutkan dan tidak mahu projek membaik pulih bernilai RM4.95 juta lebur begitu sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hanafiah Mat berkata, penilaian semasa Jabatan Kerja Raya mendapati struktur laluan itu masih selamat.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sebahagian struktur benteng Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit yang hampir siap tiba-tiba runtuh akibat hakisan.
Laluan sejauh 280 meter itu terpaksa dibaiki setelah rosak teruk ekoran hakisan pantai pada musim tengkujuh, Januari lalu.
IPOH – Seramai 2,678 mangsa banjir melibatkan 845 buah keluarga di Perak kini ditempatkan di 29 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, Manjung kekal menjadi daerah terbanyak mangsa banjir apabila 1,310 penduduk (401 keluarga) kini berlindung di 13 PPS.
“Ia diikuti daerah Perak Tengah yang merekodkan seramai 770 orang mangsa dari 256 buah keluarga dengan mereka ditempatkan di tujuh buah PPS.
“Seterusnya ialah Bagan Datuk yang mempunyai 242 orang mangsa dari 82 buah keluarga yang berlindung di 13 buah PPS, diikuti Hilir Perak yang merekodkan 198 orang mangsa melibatkan 58 buah keluarga dan mereka ditempatkan di dua buah PPS,” katanya di sini hari ini.
Katanya, ia diikuti daerah Muallim yang merekodkan 92 orang mangsa dari 28 buah keluarga, dengan kini mereka ditempatkan di dua buah PPS.
“Larut, Matang dan Selama pula merekodkan 66 mangsa dari 20 buah keluarga yang berlindung di dua buah PPS,” katanya. – KOSMO! ONLINE
