OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Monsun Timur Laut dijangka bermula Selasa ini

SHAH ALAM: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) akan bermula pada 5 November ini dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh itu.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip berkata, semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember, hujan lebat dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
 
Menurutnya, pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku hujan lebat ialah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
 
“Tetapi, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia.
“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.
 
“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Mohd Hisham, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan menjelang fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac 2025.
“Keadaan ini akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba.
“Tetapi, keadaan diramal tidak seteruk seperti tahun 2024 disebabkan fenomena La Nina dijangka bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun hadapan.
“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia,” ujarnya. -- Sinar Harian

Latihan REDEX uji kecekapan pasukan penyelamat

TAMBUN - Hujan lebat berterusan menyebabkan lebih 50 penduduk daripada tiga perkampungan di Tanjung Rambutan di sini, pada Rabu terperangkap dalam kejadian banjir.

Limpahan air daripada Empangan Sultan Azlan Shah, Hulu Kinta itu menyebabkan situasi banjir di Kampung Kolam, Kampung Masjid dan Tambun di sini semakin memburuk.

 

Pasukan penyelamat melaporkan, dalam kejadian sekitar jam 8.05 pagi itu, seorang penduduk dikhuatiri lemas dan seorang lagi mangsa memerlukan bantuan kecemasan akibat dipatuk ular.

Pasukan penyelamat turut bergelut menyelamat 10 mangsa lain yang terhidu bahan klorin di Loji Rawatan Air Sungai Kinta serta 10 lagi mangsa yang terkandas di Gunung Korbu di Hulu Kinta.

Operasi menyelamat kesemua mangsa digerakkan dengan kekuatan 214 anggota daripada pelbagai agensi diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).

Bagaimanapun, kejadian tersebut hanyalah simulasi Latihan Amal Bencana Kecemasan Luar Bandar (Rural Emergency Disaster Exercise - REDEX) Kinta Utara 2024.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, latihan itu dijalankan dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan semua jabatan terlibat menghadapi bencana terutama musim Monsun Timur Laut.

"Terdapat tiga senario dicipta menerusi latihan itu dengan operasi digerakkan menggunakan jalan darat, air dan udara menerusi penerbangan Medevac (Medical Evacuation).

"Operasi di setiap situasi dilakukan dengan integrasi antara jabatan berdasarkan peruntukan di bawah arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) No 1 yang merupakan panduan utama dalam pengurusan bencana," katanya ketika ditemui di Taman Rekreasi Kolam Sungai Pinji di Tanjung Rambutan pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman; Pengarah Bahagian Udara JBPM, Datuk Norazam Khamis dan Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori.

Sayani berkata, latihan itu turut melibatkan pasukan elit dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta Unit Udara Bomba itu dianggap berjaya.

"Operasi ini berjaya memantapkan kemahiran teknikal dan strategi pasukan penyelamat bagi insiden yang berskala besar serta melibatkan keanggotaan yang ramai.

"Kita berhasrat latihan berskala besar kerap dilakukan bagi mendedahkan pasukan penyelamat dan bantuan dari aspek logistik dan keperluan bagi insiden yang melebihi empat jam," katanya.

Tambah baik pengurusan, infrastruktur, kurangkan risiko banjir

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa fokus dalam menambah baik pelan pengurusan risiko banjir berikutan keadaan yang kritikal ketika ini kerana empangan sedia ada tidak lagi mampu menampung limpahan air akibat hujan lebat.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin berkata, pelan pengurusan perlu bersifat komprehensif meliputi program mitigasi mengawal bencana alam seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) arahan banjir dan pemetaan.

Menurutnya, pelan pengurusan itu juga perlu membabitkan perancangan penempatan semula yang perlu disusun dengan lebih rapi.

“Banjir merupakan fenomena berlaku setiap tahun sama ada akibat daripada air sungai yang melimpah kerana hujan lebat berpanjangan atau air yang dilepaskan kerana empangan tidak dapat lagi menahannya.

“Pihak berkuasa seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) perlu mencari solusi agar bencana banjir ini dapat dikawal secara total.

“Bagaimanapun, saya nampak agensi-agensi kerajaan di barisan hadapan ini komited dalam membantu dan memastikan keberadaan mangsa banjir di sini serba lengkap, dengan aktiviti-aktiviti yang menarik. Saya menghargai usaha tersebut. Syabas dan teruskan usaha gigih ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sri Rahayu dalam masa sama memberitahu pihaknya turut memberi bantuan asas kepada mangsa banjir seperti beras dan makanan lain, di samping menjalankan kerja-kerja sukarelawan sebagai peringatan dan menerapkan nilai kemanusiaan kepada semua yang terlibat.

“Terdapat tiga Pusat Penempatan Semula (PPS) secara rasmi yang dibuka iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Dewan Chikus dan Sekolah Kebangsaan Datuk Sagor. Saya juga difahamkan, ada juga tempat pemindahan sementara dibuka untuk empat buah keluarga belah Anak Sungai juga.

“Semoga usaha kami hari ini membawa sedikit sumbangan, menyumbang tenaga dan masa, mendapat berkat buat semua. Hari ini kami datang bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pasir Salak Bangkit,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sri Rahayu turut mengingatkan orang ramai agar mempunyai perancangan supaya masalah banjir di rumah masing-masing dapat dikawal dengan lebih baik sekiranya bencana itu kembali melanda.

“Beberapa persediaan dengan lebih awal perlu dibuat, mungkin perlu ubah suai susunan dan peralatan di rumah agar dapat mengurangkan risiko banjir nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tambah baik pengurusan, infrastruktur, kurangkan risiko banjir

PASIR SALAK: Pihak berkuasa digesa fokus dalam menambah baik pelan pengurusan risiko banjir berikutan keadaan yang kritikal ketika ini kerana empangan sedia ada tidak lagi mampu menampung limpahan air akibat hujan lebat.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin berkata, pelan pengurusan perlu bersifat komprehensif meliputi program mitigasi mengawal bencana alam seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) arahan banjir dan pemetaan.

Menurutnya, pelan pengurusan itu juga perlu membabitkan perancangan penempatan semula yang perlu disusun dengan lebih rapi.

“Banjir merupakan fenomena berlaku setiap tahun sama ada akibat daripada air sungai yang melimpah kerana hujan lebat berpanjangan atau air yang dilepaskan kerana empangan tidak dapat lagi menahannya.

“Pihak berkuasa seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) perlu mencari solusi agar bencana banjir ini dapat dikawal secara total.

“Bagaimanapun, saya nampak agensi-agensi kerajaan di barisan hadapan ini komited dalam membantu dan memastikan keberadaan mangsa banjir di sini serba lengkap, dengan aktiviti-aktiviti yang menarik. Saya menghargai usaha tersebut. Syabas dan teruskan usaha gigih ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sri Rahayu dalam masa sama memberitahu pihaknya turut memberi bantuan asas kepada mangsa banjir seperti beras dan makanan lain, di samping menjalankan kerja-kerja sukarelawan sebagai peringatan dan menerapkan nilai kemanusiaan kepada semua yang terlibat.

“Terdapat tiga Pusat Penempatan Semula (PPS) secara rasmi yang dibuka iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Dewan Chikus dan Sekolah Kebangsaan Datuk Sagor. Saya juga difahamkan, ada juga tempat pemindahan sementara dibuka untuk empat buah keluarga belah Anak Sungai juga.

“Semoga usaha kami hari ini membawa sedikit sumbangan, menyumbang tenaga dan masa, mendapat berkat buat semua. Hari ini kami datang bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pasir Salak Bangkit,” jelasnya.

 

Banjir kilat Vietnam ragut 5 mangsa, rosakkan ratusan rumah

HANOI: Banjir kilat di Vietnam tidak hanya mengorbankan lima mangsa, malah merosakkan ratusan rumah dan memusnahkan tanaman, berpunca hujan lebat yang dibawa Ribut Tropika Trami ke seluruh negara.

Trami melanda tengah Vietnam Ahad lalu selepas membadai Filipina, yang mengakibatkan lebih 100 kematian.

Di Vietnam, ribut itu menyebabkan hujan lebat yang mengakibatkan aliran sungai melimpah keluar dan memutuskan bekalan elektrik.

Kementerian Pertanian hari ini berkata, di Quang Binh seramai lima orang maut dan lima lagi cedera, dalam kejadian banjir lumpur yang melanda beberapa perkampungan terpencil.

Katanya, lebih 300 rumah dan hampir 1,300 hektar tanaman rosak.

Vietnam sering dilanda ribut tropika, yang sering mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh antara Jun dan November setiap tahun.
 

Menurut pakar, perubahan iklim yang menyebabkan corak cuaca lebih intensif yang meningkatkan kemungkinan banjir yang merosakkan.

September lalu, utara Vietnam musnah akibat Taufan Yagi yang mengorbankan 345 nyawa dan menyebabkan kerugian ekonomi dianggarkan sebanyak AS$3.3 bilion (RM14.45 bilion). - AFP

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search