OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Beberapa kawasan di Kuala Pilah dan Tampin dilanda banjir

TAMPIN: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kuala Pilah dan Tampin dilanda banjir dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 63 mangsa.

Seramai 19 penduduk daripada empat keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gedok di Gemencheh, di sini, manakala 44 lagi membabitkan 10 keluarga kini berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Dangi di Johol, Kuala Pilah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Fadhil Hassan, berkata PPS SK Gedok dibuka jam 12 tengah malam tadi menempatkan mangsa dari sekitar Kampung Tengah dan Gedok.

Selain itu, katanya, jalan Batang Melaka-Gemencheh-Tampin ditutup untuk semua kenderaan akibat paras air meningkat sehingga hampir satu meter setakat 9 malam tadi berikutan hujan lebat sejak petang semalam dan limpahan air sungai.

"Dua laluan di kawasan berkenaan ditutup kira-kira 7.30 malam tadi kerana berbahaya untuk dilalui kenderaan. Kita juga sedang memantau premis kedai dan kediaman yang terjejas susulan banjir ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengguna dinasihat menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gemas-Tampin dan Jalan Mantai-Air Kuning Selatan-Sungai Dua untuk ke destinasi masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar, berkata misi bantuan banjir terus digerakkan dengan kerjasama Majlis Daerah Tampin, pasukan pengakap serta sukarelawan.

"Lebih 50 individu dipecahkan ke beberapa lokasi di sekitar pekan Gemencheh, termasuk Taman Muhibbah, Bukit Rokan, Kampung Tengah dan Kampung Gedok.

"Dianggarkan lebih 30 rumah sekitar DUN Gemencheh dan sebuah sekolah di Bukit Rokan terjejas banjir. Data tepat rumah yang terjejas belum diperoleh sepenuhnya," katanya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Pilah, Leftenan Mohamad Ghazali Abd Rahim, berkata PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Dangi susulan banjir sekitar Johol, susulan hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang semalam sehingga mengakibatkan limpahan air sungai.

"Agensi penyelamat telah menjalankan satu operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke PPS, malam tadi," katanya.

 

Ribut petir, hujan lebat diramal berlaku di KL, Labuan, Putrajaya dan 9 negeri

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sehingga jam 9 malam.

MetMalaysia menerusi amaran cuaca yang dikeluarkan pada 5.45 petang ini memaklumkan negeri terlibat ialah Kedah (Kuala Muda, Baling dan Kulim), Perak, Kelantan (Gua Musang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Rompin) dan Selangor.

Turut terlibat ialah Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson), Johor (Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Keadaan sama dijangka melanda Sarawak iaitu di Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan (Simunjan), Betong, Kapit (Kapit dan Belaga), Bintulu (Sebauh), Miri serta Limbang.

Sementara itu di Sabah melibatkan pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar dan Ranau), Tawau (Tawau), Sandakan (Tongod) dan Kudat (Kota Marudu).

Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir ialah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

 

Amaran taufan: Rakyat Malaysia di Filipina dinasihatkan berwaspada

PUTRAJAYA: Malaysia sedang memantau rapi kesan Taufan Usagi atau dikenali Ofel yang telah melemah dengan ketara pada Jumaat selepas menyebabkan kerosakan di bandar utara Filipina.

Kementerian Luar dalam nasihat terkininya pada Jumaat memaklumkan bahawa sementara pihak berkuasa meneruskan usaha pemulihan, persiapan sedang dijalankan untuk Taufan Man-yi atau dikenali Pepito yang semakin kuat di barat Pasifik dan dijangka melanda bandar-bandar timur serta wilayah ibu kota Manila pada hujung minggu ini.

“Man-yi diunjurkan akan menjadi taufan super menjelang awal Ahad, dan rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra telah menggesa rakyat Malaysia yang menetap atau melawat Filipina untuk mendaftar kehadiran mereka melalui platform E-Konsular bagi menerima kemas kini dan sokongan yang tepat pada masanya.

Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila di 107 Tordesillas Street, Salcedo Village, Makati, Metro Manila, Filipina atau melalui nombor telefon (632) 86628200 / (632) 86628201 / 02 dan alamat e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. / This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Simpanan air belum optimum walaupun hujan meningkat

Paras simpanan air mentah di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dekat sini, belum mencapai tahap optimum persediaan bagi menghadapi musim kering akan datang, walaupun taburan hujan di kawasan tadahan air (KTA) Pulau Pinang itu meningkatkan kapasiti efektifnya sejak September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K Pathmanathan berkata, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam mencapai 81.5 peratus dalam tempoh 75 hari dengan taburan hujan di KTA sebanyak 772.5 milimeter (mm) sehingga kelmarin.

Menurutnya, Empangan Teluk Bahang pula capai sebanyak 51.2 peratus dalam tempoh sama dengan taburan hujan 796 mm.

“Empangan Mengkuang turut mencapai 91.3 peratus dengan taburan hujan 1,100 mm dalam tempoh itu.

“Sebanyak 2,159 juta liter kapasiti efektif Empangan Air Itam sudah pulih ke tahap selamat iaitu 81.5 peratus.

“Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang iaitu 18,240 mililiter (ml) meningkat sejak 31 Ogos lalu dan peningkatannya melebihi paras 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, semalam.

SAJIAN MUSIM TENGKUJUH

Menjelang musim tengkujuh, permintaan debu (tepung) ubi kayu amat menggalakkan berikutan ramai peniaga di negeri ini menghasilkan kuih putu halba.

Keadaan itu membuatkan Siti Shafikah Mohamad Suhaimim, 31, dari Kampung Teluk Jering, di sini, sibuk kerana perlu menyediakan lebih satu tan debu ubi kayu setiap hari untuk permintaan pelanggan.

Siti Shafikah berkata, dia yang dibantu tiga hingga 10 pekerja akan memproses dua tan ubi kayu akan diproses setiap hari bermula jam 8.30 pagi sehingga hasilnya diperoleh menjelang tengah malam.

Menurutnya, menjelang musim tengkujuh ini, dia mula memproses debu ubi kayu sejak awal bulan lalu kerana terdapat permintaan daripada peniaga yang ingin menjual putu halba.

“Bekalan ubi kayu saya peroleh dari Bachok dan penduduk kampung selain hasil kebun peninggalan arwah bapa seluas 0.2 hektar. Setiap hari saya akan proses dua tan ubi kayu yang mampu menghasilkan satu tan debu.

“Selain menjadi bahan utama pembuatan putu halba, debu ini juga boleh digunakan untuk membuat kuih lain seperti ketupat, tepung boko dan poli ubi kayu,” katanya.

Anak kelapan daripada

“Selain menjadi bahan utama pembuatan putu halba, debu ini juga boleh digunakan untuk membuat kuih lain seperti ketupat, tepung boko dan poli ubi kayu” Siti Shafikah Mohamad Suhaimim

sembilan beradik itu berkata, dia menghasilkan debu ubi kayu sejak lima tahun lalu bersama bapanya, Mohamad Suhaimim Mamat, 74, dan meneruskan legasi selepas bapanya meninggal dunia, tahun lalu.

Menurutnya, meskipun pembuatan debu ubi kayu dilihat mudah, tetapi penghasilannya memerlukan banyak proses terutama pengeringan yang mengambil masa lama.

“Saya mempunyai ramai pelanggan dan ramai pembeli baharu termasuk dari luar Kelantan sejak mula memanfaatkan media sosial,” katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search