KUALA LUMPUR, 4 Feb: Jumlah mangsa banjir di Sarawak menurun kepada 9,039 orang yang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam bahagian setakat pagi ini berbanding 9,314 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan daripada jumlah itu, 4,492 mangsa berlindung di sembilan PPS di bahagian Bintulu berbanding 4,727 orang dicatatkan malam tadi, manakala 1,525 orang lagi masih kekal di empat PPS di bahagian Serian.
Bahagian Miri pula merekodkan 1,406 mangsa berbanding 1,464 orang di 12 PPS manakala di bahagian Sibu melibatkan 828 mangsa berbanding 839 orang di lima PPS.
Di bahagian Samarahan, jumlah mangsa kekal 523 orang yang berlindung di empat PPS sementara di bahagian Mukah, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 265 orang di tiga PPS berbanding 236 malam tadi.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 102 orang daripada 27 keluarga pagi ini berbanding 94 orang daripada 26 keluarga pada pukul 8 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan semua mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Kinabatangan, satu-satunya daerah masih dilanda banjir di negeri berkenaan.
“Trend pemindahan di PPS di Kinabatangan pada pagi ini adalah kekal,” menurutnya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 5.45 pagi ini memaklumkan hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Telupid, Beluran dan Sandakan di Sabah hingga esok.
MetMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sarawak meliputi Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.
Amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Sabah pula melibatkan bahagian Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) serta Kudat. -TVS
BINTULU: Malam 29 Januari lalu menjadi tarikh yang tidak dapat dilupakan buat Hazzaid Abdul Muin apabila air dengan cepat memasuki rumahnya di Taman Sebiew Indah, di sini.
Jurutera berusia 36 tahun itu menyifatkan situasi itu sama seperti adegan filem apabila beliau berdepan detik cemas untuk menyelamatkan keluarganya sebelum air memenuhi ruang rumah.
"Kita memang terkejut semasa air mula naik pada sekitar 6 pagi (29 Januari) dan kita ingat akan surut tetapi hujan berterusan. Selepas itu sekitar 11 pagi bot bantuan datang untuk memindahkan semua orang," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, banjir yang mula surut pada Jumaat menyebabkan beliau kerugian lebih RM30,000.
"Memang banyak kerugian yang perlu kita tanggung, dua kereta milik kami turut terkesan, sebuah kereta sudah kena angkut ke bengkel. Selain itu kita kerugian barang seperti perabot dan barangan elektronik lain," katanya.
Hazzaid menjelaskan buat masa ini pembersihan rumah pascabanjir sedang berjalan dan usaha tersebut mengambil masa yang lama terutama proses membawa keluar barang-barang rosak.
"Buat masa ini kita sedang lupuskan barang dan akan ada lori yang akan bawa barangan tersebut ke tapak pelupusan.
"Selepas air surut, pihak majikan saya juga ada tawar bantuan kepada pekerja yang terkesan banjir iaitu mereka telah hantar bantuan tenaga pekerja untuk sama-sama tolong bersihkan rumah," katanya.
Setakat pagi ini, seramai 4687 mangsa masih berada di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di Bintulu susulan bah yang disifatkan paling teruk dalam tempoh 30 tahun di kawasan itu. - BERNAMA
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah menurun pagi ini dengan 102 orang daripada 27 keluarga masih ditempatkan di satu pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 10 pagi tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataan, berkata semua mangsa banjir terbabit adalah penduduk di daerah Kinabatangan.
“Semua penduduk kini berada di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Bukit Garam kerana kediaman mereka dinaiki banjir,” katanya.
Sementara itu, APM menasihatkan orang awam khususnya penduduk yang tinggal di kawasan rendah atau berhampiran sungai supaya sentiasa berwaspada susulan keadaan cuaca di seluruh negeri yang masih tidak menentu.
“Penduduk dinasihatkan berpindah ke tempat yang lebih selamat sekiranya rumah kembali dinaiki banjir bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
KUALA LUMPUR: Continuous heavy rain at severe levels are expected for Sandakan and its surrounding areas in Sabah until tomorrow, according to the Malaysian Meteorological Department (MetMalaysia).
In an updated warning issued at 5.45 am on Tuesday (Feb 4), MetMalaysia said the districts that will be affected include Telupid, Beluran and Sandakan.
MetMalaysia has also issued a continuous rain alert at warning levels for several areas in Sarawak, covering Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu and Mukah.
For Sabah, MetMalaysia also issued a warning-level continuous rain alert for the West Coast (Ranau and Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan), and Kudat.
The public can obtain the latest weather updates through MetMalaysia’s official website, the myCuaca mobile application, and the department’s official social media channels. They can also contact the MET Malaysia hotline at 1-300-22-1638 for further inquiries. - Bernama
KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan apabila negeri ini dijangka mengalami musim kemarau lebih awal.
Pengarah JBPM negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, berdasarkan statistik tahun 2023 dan 2024, pembakaran terbuka meningkat hampir 40 peratus.
"Kalau ikut daripada pusingan, kita belum lagi tempoh peralihan monsun kerana ia bermula Mac ini, tetapi saya yakin di Kelantan ia lebih awal.
"Kerana berdasarkan Monsun Timur Laut yang awal berlaku. Kita yakin kemungkinan awal bulan Mac akan bermulanya Monsun Barat Daya," katanya semasa sidang akhbar Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di sini pada Selasa.
Menurutnya, yang mana masa tersebut keadaan semakin kering dan banyak kebakaran terbuka akan berlaku terutamanya melibatkan tanah gambut.
Ujarnya, dimaklumkan pada tahun lepas banyak panggilan kebakaran terbuka diterima.
Tambah Farhan Sufyan, walaupun pihaknya belum lagi menerima sebarang maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkaitan El-Nino tapi JBPM Kelantan tetap bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku tahun ini.
"Kita telah menerima empat pam berkapasiti tinggi yang mana ia dapat meningkatkan mutu perkhidmatan sekiranya kebakaran terbuka berlaku serta kerjasama awal dengan Jabatan Alam Sekitar.
"Di Kelantan terdapat sembilan kawasan panas melibatkan kebakaran terbuka di tiga daerah iaitu Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok," katanya.