OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Bantuan Wang Ihsan mangsa bencana disalur melalui BSN

Kota Kinabalu: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana, termasuk banjir, di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah itu bagi memudahkan pembayaran bantuan, terutama kepada mangsa banjir yang tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Ia tidak lagi melalui sistem konvensional iaitu melalui Pejabat Daerah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP).

"Selepas mengadakan rundingan, senarai mangsa banjir yang dipindahkan itu akan mendapat Bantuan Wang Ihsan melalui BSN," katanya pada sidang media selepas lawatan ke projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Persekitaran Kawasan Lido, di sini, hari ini.

Menerusi kaedah itu, Ahmad Zahid berkata, mangsa bencana yang sudah disenaraikan boleh ke cawangan BSN berhampiran untuk menuntut BWI masing-masing.

"Dalam perkara ini, kita melakukan beberapa urusan tatakelola untuk pengesahan bahawa mereka benar-benar mangsa banjir yang terjejas ketika Monsun Timur Laut (MTL).

"Kita akan dapatkan pengesahan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengenai perkara ini dan kita akan lakukan pengubahsuaian terhadap pelaksanaannya," katanya.

 

'Kemarau tak serius tahun ini, ribut petir, hujan lebat sebelah petang sepanjang Ramadan' - MetMalaysia

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan, fenomena cuaca panas dan kering yang melanda negara tahun ini tidak seteruk tahun lalu.

Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan itu disebabkan pengaruh La Nina lemah yang sedang berlaku sekarang dijangka akan berterusan sehingga pertengahan tahun ini.
 

Berhubung kejadian jerebu dan titik panas pula, beliau berkata, biasanya ia berlaku di antara Julai hingga September iaitu ketika kemuncak Monsun Barat Daya (MBD).

"Masih terlalu awal untuk meramal potensinya (kejadian jerebu dan titik panas) dan ia bergantung kepada kekuatan MBD yang akan berlaku nanti serta keadaan cuaca di negara jiran," katanya kepada BH hari ini.

Diminta mengulas situasi di negara jiran seperti laporan pencemaran udara akibat kebakaran hutan yang mungkin akan mendorong situasi jerebu rentas sempadan yang sederhana atau kronik, Mohd Hisham berkata, sekiranya berlaku kebakaran secara meluas di negara jiran ketika MBD, asap berkenaan akan bergerak memasuki rantau negara dan seterusnya boleh menyebabkan cuaca berjerebu.

"Di samping itu, kebakaran setempat juga akan menyebabkan keadaan jerebu bertambah buruk," katanya.

Kelmarin BH melaporkan, kebakaran hutan secara sporadik di Asia Tenggara memberi isyarat mengenai jerebu berbahaya, yang boleh membawa kesan besar terhadap ekonomi dan masyarakat, mengingatkan kepada episod jerebu pada 1997.

Kebakaran hutan di Thailand dan Kemboja sejak beberapa minggu kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan terhadap pencemaran udara yang boleh memburukkan keadaan apabila musim panas melanda rantau itu dalam beberapa bulan akan datang.

Ketika ditanya mengenai jangkaan peralihan cuaca selepas berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) bulan depan, Mohd Hisham berkata, fasa peralihan itu dijangka bermula pada pertengahan Mac ini.

Bagi ramalan cuaca sepanjang Ramadan pula, katanya cuaca di seluruh negara dijangka baik pada sebelah pagi, manakala ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku pada sebelah petang dan awal malam terutamanya di kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, selatan, barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah.

"Kawasan utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan dijangka mengalami cuaca yang sedikit lebih panas dan kering berbanding tempat lain," katanya.

 

Apa guna ada jejantas RM8 juta kalau banjir masih berlaku – Dr Aleef

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk membina Jejantas Tun Teja bernilai RM8 juta sedangkan rakyat Melaka terus dibelenggu dengan masalah banjir dan keperluan asas yang masih tidak diselesaikan sejak sekian lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof mendakwa rakyat Melaka sudah meluat dan marah dengan tindakan kerajaan negeri yang lebih gemar membuat publisiti dan pembaziran wang rakyat berbanding masalah rakyat.

“Apa guna ada jejantas RM8 juta kalau hingga ke hari ini masalah banjir masih lagi berlaku. Sabtu lalu rasmi jejantas RM8 juta, namun Ahad pula kawasan Krubong banjir.

“Kerajaan sepatutnya mengutamakan penyelesaian masalah dan membantu rakyat berbanding melakukan pembaziran dan tidak mendatangkan hasil yang baik untuk rakyat negeri ini.

“Sudah pasti rakyat Melaka tidak gembira dengan pembaziran yang dilakukan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
 

Sabtu lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh merasmikan Jejantas Tun Teja sebagai satu lagi ikon pelancongan Bandaraya Melaka.

Jejantas Tun Teja yang bersebelahan Melaka Sentral menelan kos ubah suai dan naik taraf berjumlah RM7.9 juta itu, dapat memberi kelegaan kepada peniaga di kawasan bandar.

Bagaimanapun sehari selepas itu, media melaporkan beberapa kawasan di Melaka termasuk Taman Krubong Jaya dilanda banjir kilat.

Selain itu, Dr Aleef kesal apabila ketua menteri gagal memberi penjelasan berkenaan jejantas itu apabila perkara itu dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang lepas.

“Walaupun saya mendesak penjelasan dibuat khususnya dengan nilainya yang begitu tinggi dan tidak masuk akal namun dalam penggulungan Ketua Menteri, beliau langsung tidak menjelaskan berkenaan isu itu.

“Inilah kelemahan ketua menteri, beliau tak tahu untuk berbahas dengan baik apatah lagi untuk memberikan penjelasan di dalam DUN Melaka,” katanya.

Lebih malang, katanya, ikon pelancongan baharu bagi Bandaraya Melaka bukan sesuatu yang perlu dibanggkan kerana beliau mendakwa, ia satu lagi produk yang ditiru daripada Pintasan Saloma di ibu negara.

“Cara kerajaan negeri yang sewenangnya copy paste produk pelancongan dari luar juga amat merungsingkan kerana ia membawa kerugian kepada rakyat!

“Jejantas RM8 juta ini pula copy paste daripada jejantas yang bersebelahan KLCC, sedangkan Jejantas Tun Teja dekat Melaka Sentral dalam keadaan begitu usang dan teruk sekali,” katanya.

Dakwanya lagi, selain Pintasan Saloma banyak lagi ikon pelancongan yang menjadi mangsa copy paste diwujudkan di Melaka termasuk pasar terapung di Sungai Melaka.

“Pasar terapung Melaka kini tidak mendatangkan hasil malah mendatangkan kerugian. Taman Laut di Gugusan Pulau di Umbai juga menerima nasib sama yang akhirnya memberi tekanan kepada nelayan tempatan yang tidak lagi menangkap ikan di kawasan sekitar.

“Malah banyak lagi tindakan kerajaan negeri sebenarnya menyusahkan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Negeri Sembilan kekal siap siaga berdepan risiko banjir

TAMPIN, 24 Februari- Kerajaan Negeri Sembilan bersiap siaga sepanjang masa sekiranya berlaku lagi kejadian banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kerjasama daripada semua jabatan di peringkat daerah diperlukan terutama ketika dilanda bencana banjir.

"Kita sedia maklum bahawa isu banjir tidak mengikut monsoon sebab cuaca berubah dan pemanasan global berlaku.

"Kita harap ini akan beri peringatan supaya kita bersiap sedia bila-bila masa sehingga dalam masa apa sekalipun supaya dapat kita kurangkan kos kerosakan yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Pentadbiran Daerah Tampin 2025.

Sebanyak RM1.002 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI) dari Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah diagihkan kepada 504 Ketua Isi Rumah (KIR) pada Majlis Penyerahan Sumbangan BWI Mangsa Banjir Daerah Tampin pada 19 Disember lalu.  

Kerajaan pantau pelaksanaan projek tebatan banjir di Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan akan memantau pelaksanaan projek tebatan banjir yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) khususnya di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemantauan itu adalah bagi memastikan tiada sebarang kelewatan sehingga menjejaskan usaha mengurangkan impak banjir.

Katanya, pihaknya menitikberatkan isu berkenaan dan komited memastikan setiap projek tebatan banjir dilaksanakan dengan cekap, berkesan serta mengikut jadual yang ditetapkan.

 “Di Sabah, sebanyak 14 projek rancangan tebatan banjir akan dilaksanakan. Dua projek tebatan banjir siap dan dalam tempoh liabiliti kecacatan, 10 projek sedang dalam pembinaan dan dua projek dalam fasa pra pelaksanaan.

“Di Sarawak pula, 10 projek tebatan banjir dirancang dan dua daripadanya siap dibina dan masih dalam tempoh liabiliti kecacatan.

“Dua projek sedang dalam pembinaan dan enam projek adalah adalah fasa pra pelaksanaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2025 di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Mesyuarat terbabit menumpukan perbincangan berkaitan isu dan penyelesaian situasi bencana banjir di Sabah dan Sarawak yang terkesan sejak Januari lalu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, di Sabah, dua episod banjir berlaku pada 17 hingga 20 Januari membabitkan tiga daerah, manakala episod kedua pula berlaku pada 27 Januari hingga 16 Februari membabitkan 14 daerah.

Menurutnya, Sarawak pula menganggarkan sebanyak 1,335 projek infrastruktur awam rosak dan memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan segera kesan daripada banjir.

“Sebagai langkah segera, mesyuarat meluluskan pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di Long Busang di Belaga, Sarawak.

“Bagi PPKB di kawasan lain, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Setakat ini hanya ada satu saja PPKB dibina di Johor iaitu di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi,” katanya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search