Kerugian banjir Perlis lebih RM200j
- Admin UKK
- Berita
KANGAR: Banjir melanda Perlis baru-baru ini yang disifatkan terburuk dalam tempoh 15 tahun meninggalkan kesan kemusnahan dahsyat dengan kerugian dianggarkan melebihi RM200 juta.
Dalam tempoh tiga hari bermula 23 hingga 25 November lalu menyaksikan Perlis dalam keadaan kritikal dengan hampir keseluruhan negeri ditenggelami air sehingga 9,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) manakala 14,785.56 hektar sawah tenggelam dan lokasi pelancongan, sekolah, hospital dan pejabat kerajaan menghadapi kerosakan serius.
Meskipun tidak seteruk banjir 2010, banjir Perlis 2025 akan diingati sebagai terburuk dalam sejarah negeri ini. Pada 2010, lebih 63,000 penduduk terkesan dengan hampir 47,000 hektar atau separuh negeri ditenggelami air dan kerugian dianggarkan mencecah RM200 juta.
Bagaimanapun, selepas pembinaan projek Lencongan Banjir Barat (LBB) Timah Tasoh bermula 2012 dan siap sepenuhnya pada 2020, Perlis berjaya mengelak dari banjir lebih dahsyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, kerugian banjir pada kali ini dijangka lebih besar daripada 2010 dengan dianggarkan sekitar RM230 juta atau tinggi yang meliputi kerosakan infrastruktur seperti bangunan kerajaan, jalan raya, sektor pertanian, pelancongan dan kemusnahan harta benda.
Namun katanya, agensi-agensi berkaitan masih terus mengumpulkan maklumat mengenai jumlah kerugian sebenar akibat banjir berkenaan.
“Daripada segi kerosokan infrastruktur seperti bangunan kerajaan dan agensi sudah mencecah antara RM17 juta sehingga 20 juta,” katanya.
Rahimi berkata, pada masa ini, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sudah dihentikan selepas banjir di Perlis sudah kembali pulih, manakala usaha pemulihan dan bantuan masih berterusan dengan dikoordinasi agensi tertentu.
“Pengurusan banjir oleh kerajaan negeri termasuk keberkesanan PKOB sepanjang bencana itu berjalan cukup lancar tanpa sebarang isu atau masalah berbangkit,” katanya.
Katanya, banjir tersebut antaranya menyaksikan sektor pertanian mengalami kerugian lebih RM42 juta merangkumi kemusnahan sawah padi dan ladang harumanis.-UTUSAN
KUALA TERENGGANU – Projek pembinaan 15 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) dibina Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi kemudahan mangsa banjir berjalan lancar dengan satu daripadanya bakal siap sepenuhnya pada bulan depan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Banjir) Nadma, Hussain Moh berkata, PPKB yang bersedia untuk beroperasi tersebut terletak di Sekolah Kebangsaan Seri Medan, Johor.
“PPKB SK Banggol Peradong, Manir di sini pula dijangka siap pada bulan Julai tahun depan.
“Selain itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dinaik taraf iaitu SK Matang, Hulu Terengganu telah siap dan bersedia menerima kemasukan mangsa sekiranya berlaku banjir gelombang seterusnya pada masa terdekat,” katanya di Batu Burok di sini semalam.
Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan Pusat Kawalan Bencana Negeri Terengganu yang disampaikan Pengarah Pembangunan Persekutuan Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pengurusan), Datuk Ab. Rasid Jusoh.
Hussain berkata, setiap PPKB yang dibina anggaran kos RM8 juta tersebut boleh menampung kira-kira 500 mangsa banjir pada satu-satu masa.
Beliau berkata, PPKB terbabit dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan makan, surau, bilik rawatan dan serta orang kurang upaya dan warga emas.
“Ia disebabkan sebelum ini kira-kira 50 peratus PPS yang digazetkan merupakan sekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang rakyat Malaysia yang hilang susulan kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat masih diteruskan pihak berkuasa Indonesia.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan terus menyediakan bantuan konsular kepada keluarga mangsa yang berada dalam hubungan rapat dengan pihak berkuasa negara itu.
"Operasi SAR yang dijalankan sejak kejadian tanah runtuh pada 27 November lalu kini masuk hari ke-15 dan masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang di Padang Panjang.
"Usaha pencarian tetap diteruskan, dan Konsulat Jeneral terus menyediakan sokongan konsular kepada keluarga yang berada dalam hubungan rapat dengan pihak berkuasa Indonesia.
"Setakat ini, tiada laporan baharu mengenai rakyat Malaysia yang hilang atau terjejas oleh keadaan yang sedang berlaku," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, seorang wanita Malaysia berusia 64 tahun yang sebelum ini gagal dihubungi di Aceh disahkan selamat dan kembali ke tanah air, semalam berdasarkan maklumat diterima daripada keluarganya.
Kenyataan itu memaklumkan Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan terus memantau perkembangan susulan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara pada 27 November lalu.
"Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan bahawa akses ke beberapa kawasan yang sebelum ini terputus kini bertambah baik, membolehkan pasukan SAR memasuki lebih banyak lokasi selaras kerja pembersihan jalan yang sedang dijalankan.
"Sehubungan itu, jumlah individu yang pada awalnya dilaporkan hilang mula menunjukkan penurunan," katanya.
Selain itu, katanya keadaan banjir di beberapa kawasan terjejas juga beransur stabil, dengan beberapa daerah memasuki fasa pemulihan awal.
"Bagaimanapun, beberapa kawasan pedalaman, khususnya di Aceh Tamiang, Sumatera Barat dan wilayah Tapanuli, masih berdepan kekangan akses, bekalan keperluan asas serta pemulihan perkhidmatan utama," katanya.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan terjejas supaya berwaspada, peka terhadap perkembangan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia.
"Kementerian turut menggesa rakyat Malaysia mendaftar dengan pejabat perwakilan Malaysia terdekat dan memastikan komunikasi berterusan dengan ahli keluarga selain mendaftarkan kehadiran dengan pejabat perwakilan Malaysia terdekat.
"Mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau keluarga yang gagal menghubungi saudara-mara di kawasan terjejas digalakkan segera menghubungi Konsulat Jeneral di Medan menerusi talian +62 823-6164-6046 yang beroperasi 24 jam atau emel di This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.," katanya.
PETALING JAYA: Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengesahkan setakat ini belum menerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas susulan gempa bumi kuat yang melanda timur laut Jepun, semalam.
Menurut Wisma Putra, pihaknya memantau rapi perkembangan semasa selepas gempa bumi bermagnitud 7.5 yang berlaku pada pukul 11.15 malam waktu tempatan, pada kedalaman 54 kilometer, kira-kira 80 kilometer dari pesisir pantai Wilayah Aomori.
Kenyataan itu memaklumkan, amaran tsunami yang dikeluarkan susulan kejadian berkenaan telah ditarik balik oleh pihak berkuasa Jepun.
“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo berada dalam komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan terus memantau perkembangan keadaan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia menetap atau berada di kawasan terjejas agar sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan pesisir pantai serta mematuhi arahan dan panduan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Jepun.
Selain itu, rakyat Malaysia di Jepun digalakkan mendaftarkan keberadaan mereka dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan segera serta bantuan dapat disalurkan sekiranya diperlukan.
Bagi tujuan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 bagi pertanyaan umum atau +81-80-4322-3366 untuk kecemasan sahaja.
Pertanyaan juga boleh dikemukakan melalui e-mel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.. – UTUSAN
SAPPORO: Sekurang-kurangnya 30 orang cedera selepas satu gempa bumi kuat melanda perairan utara Jepun lewat malam Isnin, sekali gus merosakkan jalan raya dan memutuskan bekalan elektrik ketika negara itu berdepan cuaca hampir beku.
Gempa bermagnitud 7.5 yang berlaku pada pukul 11.15 malam waktu tempatan itu pada awalnya diukur sekuat 7.6 sebelum diturunkan oleh Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
JMA turut memberi amaran kemungkinan gegaran susulan dengan kekuatan sama atau lebih besar dijangka berterusan dalam tempoh beberapa hari.
Agensi itu memaklumkan, terdapat peningkatan risiko berlakunya gempa bumi pada tahap 8 magnitud serta kemungkinan tsunami di sepanjang pantai timur laut Jepun dari Chiba, di timur Tokyo, hingga ke Hokkaido sepanjang minggu ini.
Perdana Menteri, Sanae Takaichi mengesahkan jumlah kecederaan mencecah 30 orang di wilayah Aomori selepas gegaran itu turut mencetuskan ombak tsunami kecil setinggi 70 sentimeter.
Penduduk di kawasan terjejas melaporkan gegaran kuat yang memaksa mereka keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa.
GEGARAN TERKUAT
Seorang penduduk Hashikami, Daiki Shimohata, 33, berkata gegaran kali ini paling kuat pernah dialaminya dan mengingatkan kepada tragedi besar tsunami 2011.
“Kami terus mendukung anak-anak dan berlari keluar. Gegaran itu berlangsung hampir 20 saat,” katanya kepada AFP.
Penolong pengetua sebuah sekolah menengah awam di Hachinohe, Satoshi Kato memberitahu NHK dia berada di rumah ketika gempa berlaku menyebabkan gelas serta mangkuk jatuh dan pecah di lantai.
Selepas itu, dia memandu ke sekolahnya kerana ia dijadikan pusat pemindahan sementara.
Katanya, sepanjang perjalanan, dia mendapati laluan utama sesak dengan kenderaan, selain orang ramai panik dan melarikan diri.
Di Hokkaido, seorang penduduk dilaporkan cedera parah, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun.
Rakaman televisyen menunjukkan rak pasar raya tumbang, jalan merekah serta sebuah kereta terperosok ke dalam lubang akibat kerosakan permukaan tanah.
Turut kelihatan serpihan kaca bertaburan di jalan raya selepas banyak tingkap bangunan pecah akibat gegaran itu.
Pada awalnya beberapa kebakaran dilaporkan namun kerajaan mengesahkan hanya satu kebakaran berlaku di sebuah kediaman.
Lebih 2,700 rumah terputus bekalan elektrik, namun pihak utiliti berkata kebanyakan kawasan sudah menerima semula bekalan menjelang pagi Selasa.
AMARAN TSUNAMI
JMA sebelum itu mengeluarkan amaran tsunami sehingga tiga meter, menyebabkan 28,000 penduduk diarahkan berpindah ke pusat perlindungan sementara.
Namun, amaran tsunami ditarik balik beberapa jam kemudian selepas ombak tertinggi direkodkan hanya mencecah 70 sentimeter.
Perkhidmatan kereta api laju Shinkansen turut digantung di beberapa laluan bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dilakukan.
Syarikat Tohoku Electric Power memaklumkan tiada kerosakan atau kelainan dikesan di loji tenaga nuklear Higashidori dan Onagawa.
Pihak berkuasa turut mengingatkan penduduk supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan gempa lebih kuat sepanjang minggu ini.
