OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kebakaran ladang kelapa: Balok Baru rekod IPU sangat tidak sihat

KUANTAN: Kawasan Balok Baru di sini merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) kategori sangat tidak sihat iaitu 251 setakat 2 petang ini, susulan kebakaran ladang kelapa berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular di sini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Wandi Yadzid Yaakob, berkata pihaknya sedang memantau keadaan berkenaan dan bacaan IPU juga didapati meningkat dengan ketara hari ini.

"Jarak lokasi kebakaran dengan kawasan tersebut (Balok Baru) lebih kurang 11 kilometer kemungkinan arah angin telah membawa ke Balok Baru," katanya ketika dihubungi Bernama.

Susulan itu, beliau berkata penduduk setempat dan berhampiran terutama pelajar selain warga emas serta individu yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan tidak digalakkan melakukan aktiviti luar.

"Sekolah sebaiknya hentikan aktiviti luar hingga bacaan turun semula dan kita harap ia dapat turun dalam tempoh 24 jam kerana saya difahamkan bomba sedang giat memadamkan kebakaran," katanya.

Wandi Yadzid berkata pihaknya juga telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik ladang berkenaan mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024.
 

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata usaha memadamkan kebakaran giat dilakukan di kawasan itu dengan lebih 70 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi yang memasuki hari kesembilan.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya telah memadamkan kebakaran seluas 66.77 hektar daripada 75.67 hektar kawasan yang terbakar.

"Kebakaran juga merebak semula semalam akibat tiupan angin kencang," katanya. – BERNAMA

Mahasiswa UTeM ketuai projek pemulihan infrastruktur pasca banjir di Terengganu

MELAKA – Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengetuai sekumpulan 60 orang mahasiswa dari pelbagai universiti dalam menjayakan Projek Kesukarelawanan Mahasiswa Madani Intervarsiti Pasca-Monsun di Kampung Tok Saboh, Besut, Terengganu, baru-baru ini.

Pengarah Program, Haziq Zainudin, 23, berkata, program ini merupakan inisiatif UTeM bagi menggerakkan semangat kesukarelawanan mahasiswa-mahasiswa pelbagai universiti untuk menjayakan projek khidmat komuniti ini.

Katanya, beliau terpanggil untuk mengetuai misi ini kerana menyelami realiti kegetiran dan kesukaran yang dihadapi penduduk di sana yang tentunya mengharapkan bantuan segera usaha membaik pulih prasarana yang masih terjejas akibat bencana sebelum ini.

Antara aktiviti bantuan pemulihan yang dilaksanakan pemasangan lampu solar, penambahbaikan infrastruktur balai raya dan menyediakan khidmat kesihatan melalui klinik bergerak.

“Pada masa yang sama kami turut mengambil peluang ini dengan memberikan pendedahan dan penerangan lanjut berhubung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak-anak dan penduduk kampung tersebut dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut.

“Kami beruntung kerana majoriti sukarelawan yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada mahasiswa dari universiti di bawah rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), yang memiliki kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

“Justeru, agak mudah untuk kami mengaplikasikan kemahiran teknikal secara sistematik dan berfokus bagi melancarkan perjalanan operasi usaha pemulihan infrastruktur ini dengan jayanya,” katanya.

Mengulas lanjut, penuntut Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik itu berkata, projek ini bukan sekadar inisiatif sukarelawan biasa, tetapi ia mendapat dokongan penyelidikan di bawah geran yang diketuai oleh Naib Canselor UTeM, Datuk Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

“Program ini bersifat praktikal dan berpandukan kajian yang dijalankan, bagi memastikan setiap usaha yang dilakukan benar-benar menepati keperluan serta kehendak masyarakat setempat dan menjadi platform bagi mahasiswa untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam situasi sebenar,” katanya.

Dr Massila berkata, UTeM sentiasa ke hadapan dalam memperkasakan mahasiswanya untuk lebih holistik dan mampan bukan hanya dalam bidang akademik malahan turut memberikan kesan langsung kepada masyarakat.

Inisiatif sebegini adalah selari dan seiring dengan salah satu daripada fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi tahun 2025 iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara yang menyentuh kepada kemenjadian mahasiswa.

Bukan itu sahaja, uniknya projek sebegini bukan sahaja membuktikan keupayaan mahasiswa dalam menyumbang kepada masyarakat, malah turut memperkukuhkan konsep Mahasiswa Madani,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Seorang hilang, ratusan dipindahkan akibat banjir di Bogor, Jawa Barat

JAKARTA, 3 Mac: Hujan lebat sejak malam Ahad menyebabkan Sungai Cimanceuri melimpah, mengakibatkan banjir besar di beberapa kawasan di Bogor, Jawa Barat.

Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jawa Barat melaporkan ratusan rumah ditenggelami air, manakala seorang penduduk masih hilang.

Antara kawasan terjejas ialah Rumpin, Bojong Gede, dan Cisarua. Di Kampung Sukasari, Rumpin, sebuah rumah dan sebuah sekolah turut dinaiki air.

Di Kampung Rawapanjang, 137 rumah terjejas menyebabkan 547 penduduk terpaksa dipindahkan.

Sementara itu, di Kampung Tugu Selatan, 119 rumah ditenggelami air dan memaksa 423 penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Abdul Muhari dalam satu kenyataan berkata, seorang lelaki dikenali sebagai Asep Mulyana, 59, dihanyutkan arus selepas Sungai Cisaru melimpah, menyebabkan kawasan itu ditenggelami air sehingga paras lutut.

Usaha mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini dengan pasukan BPBD, pihak berkuasa tempatan serta sukarelawan dikerah ke lokasi kejadian. -TVS

 

76 hektar hutan terbakar di Kuantan

KUANTAN – Kira-kira 76 hektar kawasan ladang sawit di sekitar Jalan Pintasan Kuantan-Sg Ular berhampiran Gebeng di sini musnah dalam kejadian kebakaran hutan sejak sembilan hari lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Ibrahim berkata sehingga kini kira-kira 67 hektar kawasan yang terbakar telah berjaya dipadamkan.

“Baki kira-kira 8.9 hektar masih terbakar dan api mula merebak semula semalam akibat tiupan angin kuat dengan pemadaman masih dalam operasi dengan bantuan pelbagai agensi.

“Kekuatan anggota bomba yang terlibat dalam pemadaman ialah seramai 73 orang iaitu 16 daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dan selebihnya bantuan daripada balai luar,”katanya

Menurutnya operasi pemadaman dipecahkan kepada tujuh sektor bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain dengan setiap sektor mempunyai 10 anggota bomba.

Katanya operasi pemadaman turut menggunakan ‘water bombing’ melibatkan satu unit pesawat dengan kekuatan 11 orang kru.

“Selain itu bantuan pam dari Jabatan Pengairan dan Saliran bagi tujuan ‘total flooding’ di kawasan yang terbakar dan bantuan satu unit jengkaut dari Jabatan Kerja Raya bagi tujuan ‘fire break’ dan akses laluan pemadaman,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Review eKasih criteria for helping disaster victims, Upko leader urges Putrajaya

KOTA KINABALU: The government has been urged to revise eKasih aid criteria so that disaster victims, such as those affected by fires and floods, receive proper assistance.

Upko Women's chief Mohina Ronnie Sidom said those who lost their homes in disasters struggled to get aid because they were not registered under eKasih, a programme to assist low-income households.

"I have received complaints from people facing difficulties obtaining aid simply because they are not listed in eKasih," she said in a statement on Monday (March 23).

According to records, as of February, 72,058 heads of household in Sabah were classified as poor or hardcore poor under eKasih.

 

Mohina, who is also Kinabatangan Upko division chief, said a review of the programme’s criteria was needed to ensure that those in genuine need are not excluded.

"When disasters like fires happen, some victims do not receive assistance, including aid for rebuilding or repairing their homes.

"This is because they are not in the eKasih database," she said.

She also called for transparency in implementing the Sabah Maju Jaya (SMJ) People's Friendly Housing Programme, launched this year across all 73 state constituencies, to ensure that those struggling but not listed in eKasih receive support.

"I believe there are many more people in difficult situations owing to disasters, but they are overlooked because they are not in eKasih," she added.

Mohina said addressing the issue needed collaboration between grassroots leaders and government agencies to ensure aid reaches those who need it.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search