OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Prabowo arah kapal induk bantu padam kebakaran hutan

JAKARTA – Presiden Prabowo Subianto  mengarahkan supaya bekas kapal pengangkut pesawat tentera Itali, Giuseppe Garibaldi digunakan dalam operasi memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia ketika jerebu melanda rantau Asia Tenggara, lapor laman berita Jakarta Globe.

Prabowo mengemukakan idea tersebut apabila mengumpulkan pegawai-pegawainya  untuk mesyuarat pengurusan bencana menerusi sidang video semalam, ketika Indonesia bergelut dengan kebakaran hutan selama berbulan-bulan diikuti  jerebu dan kini abu gunung berapi Anak Krakatau.

“Segala puji bagi Tuhan. Sebuah kapal pengangkut pesawat Itali akan menyertai armada Tentera Laut kita tidak lama lagi,” kata Prabowo, merujuk kepada Garibaldi.

Kapal yang diterima Jakarta sebagai geran kerajaan Itali itu  dalam perjalanan ke Indonesia dan  dijangka tiba pada 19 September ini.

Prabowo mahu kapal induk sudah berusia itu menjadi hab mudah alih bagi helikopter yang akan menggugurkan air di kawasan-kawasan titik panas.

“Kita akan mengubah suai kapal ini  menjadi kapal pengangkut khusus untuk helikopter dan dron. Ia sepatutnya mampu membawa 10 helikopter saiz sederhana seperti Black Hawk dan Mil Mi-17. 

“Sebuah helikopter ini boleh membawa antara 4 hingga 5 tan air secara purata,” kata Prabowo.

Mil Mi-17 ialah helikopter tentera Russia rekaan bekas Kesatuan Soviet. Pada tahun 2023, Indonesia menandatangani perjanjian untuk membeli 24 unit Sikorsky S-70M Black Hawk buatan Amerika Syarikat.

Presiden itu mengarahkan kerajaannya untuk mengambil tindakan sebelum bencana berlaku.

“”Lebih banyak helikopter, lebih baik supaya kita bersedia sebelum [kebakaran] berlaku. Kita harus mengerahkan lebih banyak pesawat untuk pengubahsuaian cuaca (pembenihan awan),” ulas Prabowo.

Rom memutuskan untuk memberikan Garibaldi kepada Indonesia bagi mengelakkan kos pelupusan kapal yang tinggi.

Indonesia berada dalam kancah kebakaran hutan yang dahsyat sejak awal Ogos lalu, menyebabkan jerebu menyelubungi Malaysia, Singapura  dan juga Filipina. – AGENSI 

Jerebu: KPM yakin ibu bapa tahu buat pilihan hantar anak ke sekolah

MELAKA: Ibu bapa perlu membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan keadaan kesihatan anak masing-masing susulan keadaan jerebu ketika ini bagi memastikan ia tidak menjejaskan proses pembelajaran.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesan pencemaran udara dan memberikan kelonggaran sekiranya terdapat keperluan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

"Keputusan itu, bagaimanapun perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab serta berpaksikan kepentingan dan keperluan anak-anak.

"Kita percaya ibu bapa boleh membuat keputusan dengan kesedaran tinggi dan berpaksikan kepada kepentingan serta keperluan anak masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pelaksanaan projek Bilik Darjah Tambahan Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Taiping, berkata kelonggaran itu diberikan selepas KPM mengambil kira kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak susulan keadaan jerebu ketika ini.

Katanya, garis panduan KPM berkaitan pengurusan sekolah ketika pencemaran udara masih menjadi rujukan utama.

"Bagaimanapun, tidak bermaksud kita tidak mempunyai garis panduan yang jelas. Hala tuju kita jelas, sekiranya IPU melebihi 100, semua aktiviti luar dihentikan.

"Sekiranya IPU melebihi 200, sekolah akan ditutup dan PdPR akan dilaksanakan bagi sekolah yang terbabit," katanya.

Semalam media melaporkan, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan KPM memberikan kelonggaran kepada ibu bapa untuk membuat pertimbangan sama ada menghantar anak ke sekolah atau sebaliknya sekiranya bimbang terhadap kesihatan anak susulan keadaan jerebu ketika ini.

Beliau berkata, kelonggaran itu khususnya bagi sekolah yang belum diarahkan tutup berikutan bacaan IPU masih berada di bawah paras ditetapkan, namun ibu bapa mempunyai kebimbangan terhadap keadaan kesihatan anak masing-masing.

Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan garis panduan pengurusan sekolah ketika pencemaran udara kekal sebagai rujukan utama KPM, dengan tindakan penutupan sekolah dan pelaksanaan PdPR hanya dibuat sekiranya bacaan IPU melebihi paras ditetapkan.

Dr Sim: Flood‑mitigation works in Batu Kawa progressing rapidly

KUCHING (Sept 8): Flood-mitigation works in Batu Kawa are progressing rapidly, with several projects being implemented in phases, said Deputy Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

He said he intends to invite members of the media to visit the project sites once the haze situation improves, to provide a clearer understanding of the works.

“I’d rather bring you guys down there because that one has different phases. If I don’t bring you, then it’s quite hard to explain,” he said in response to a question on the latest progress of the flood-mitigation projects.

He was speaking to reporters after officiating the Asia Medical Library Seminar (AMLiS) 2026 at Borneo Cultures Museum here on Tuesday.

Dr Sim, who is also Public Health, Housing and Local Government Minister and Batu Kawah assemblyman, said the projects form part of longer-term flood prevention efforts in Batu Kawa and involve measures such as detention ponds and pumping systems.

“Once you understand Batu Kawa, then you understand about detention ponds, you understand about pumping out water and so on,” he said.

On Aug 2, Dr Sim said the RM36.6 million Phase 2 flood-mitigation project at Taman Desa Wira was 11 per cent ahead of schedule and targeted for completion by July 2027.

 The Taman Desa Wira project is among several flood-mitigation initiatives being implemented in Batu Kawa, where total investment in such works has exceeded RM200 million.

The project includes an 11,300-square-metre detention pond capable of holding 30,000 cubic metres of stormwater, a pump house, drainage upgrades and a one-kilometre flood-protection wall.

The detention pond is one of four planned under the wider Batu Kawa flood-mitigation scheme. Together with the RM14.5 million Phase 1 project at Taman Desa Wira, investment across the two phases exceeds RM51.1 million.

 

IPU di Serian kembali ke tahap bahaya

PETALING JAYA:
 Kualiti udara di Serian, Sarawak kembali ke tahap bahaya dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) direkodkan setakat 9.15 pagi ini mencecah 302.

Menurut portal Sistem Pengurusan IPU Jabatan Alam Sekitar, tiga lagi kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat, iaitu Kuching (249), Sri Aman (235) dan Samarahan (233).

Tujuh lagi kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU tidak sihat yang tidak melebihi 200, iaitu Mukah (184), Sarikei (183), Samalaju (178), Bintulu (170), Institut Latihan Perindustrian Miri (169), Sibu (166) dan Miri (165).

Lapan kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat membabitkan Johan Setia (168), Shah Alam (164), Banting (159), Batu Muda (158), Klang (156), Cheras (155), Petaling Jaya (154) dan Kuala Selangor (152).

Sepuluh lagi kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Tasek Ipoh (161) dan Seri Manjung di Perak (159), Nilai di Negeri Sembilan (157), Tanjung Malim di Perak (156), Putrajaya (155), Pegoh di Perak dan Seremban di Negeri Sembilan (152), Alor Gajah (143) dan Bukit Rambai di Melaka (141) serta Labuan (118).

Sebanyak 37 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan IPU sederhana dan hanya Kangar serta Langkawi mencapai IPU tahap baik, iaitu 48 serta 34.

Bacaan IPU 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 dikategorikan bahaya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan menamatkan darurat yang diisytiharkan di Serian pada Jumaat lalu selepas bacaan IPU di kawasan itu melebihi 500.

 

Belum ada petunjuk baharu status rakyat Malaysia di Nepal

Kuala Lumpur: Usaha menjejaki Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe yang dilaporkan hilang susulan tragedi bencana banjir di Nepal masih belum menemukan petunjuk baharu.

Perkara itu dimaklumkan isterinya, Hani Othman yang berkata, maklumat yang dikumpulnya daripada pelbagai sumber setakat ini masih belum ada petunjuk baharu.

"Saya dimaklumkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sudah ada di Trishuli.

"Setakat ini, maklumat yang saya kumpul sendiri dari pelbagai sumber masih belum berjaya menjejaki mereka (rakyat Malaysia hilang)," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, dia turut bertemu wakil Kementerian Luar Negeri (KLN) Malaysia yang berada di Kathmandu dan menyifatkan mereka sangat membantu.

Dalam pada itu, Hani turut mendoakan supaya segala urusan pasukan penyelamat dipermudahkan.

"Saya doakan Allah permudahkan urusan pasukan penyelamat. Saya tahu mereka juga sedang cuba sehabis baik," katanya.

Turut dilaporkan hilang ialah Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sani Harul, yang menyertai misi pendakian sama.

Seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.

-TAMAT

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search