Hujan selepas pembenihan awan belum dapat turunkan kemasinan air Sungai Papar
- Admin UKK
- Berita
PAPAR: Hujan yang terhasil menerusi operasi pembenihan awan pada Khamis dan Jumaat lalu belum dapat menurunkan kadar kemasinan air Sungai Papar yang sebelum ini menyebabkan sebuah Loji Rawatan Air (LRA) ditutup.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Mohd Fuad Abdullah, berkata bacaan tahap kemasinan air Sungai Papar di muka sauk LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau setakat semalam masih tinggi.
"Setakat jam 3 petang Isnin, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Papar merekodkan bacaan tahap kemasinan air 3,038 miligram per liter (MGL) di LRA EWSS Limbahau dan ia masih tidak dapat dirawat," katanya dalam kenyataan perkembangan harian bencana kemarau daerah Papar, malam tadi.
Loji berkapasiti 10 juta liter sehari (MLD) itu ditutup sejak lebih sebulan lalu, manakala sebuah lagi LRA dikendalikan syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd hanya dapat beroperasi separuh daripada kapasitinya.
Situasi itu menyebabkan kira-kira 150,000 penduduk di daerah ini berdepan masalah air yang kritikal sehingga Papar diisytiharkan kawasan bencana kemarau sejak 13 Mac lalu.
LRA yang ditutup hanya boleh beroperasi semula apabila tahap kemasinan air sungai kembali ke paras maksimum yang boleh dirawat iaitu 120 MGL. Dalam pada itu, Mohd Fuad berkata penghantaran air bersih menggunakan lori masih diteruskan setiap hari di semua 12 lokaliti daerah ini menggunakan 11 lori sewaan PKOB, 13 lori agensi kerajaan dan enam lori sukarelawan yang membabitkan 200 petugas daripada 27 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).