OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir di Kemaman beransur pulih

Kuala Terengganu: Keadaan banjir di Terengganu yang melanda negeri ini sejak kelmarin beransur pulih apabila hanya 442 mangsa dilaporkan terjejas setakat jam 4 petang ini.

Kesemua mangsa daripada 124 keluarga itu berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman.

Ia menunjukkan penurunan berbanding hanya 2,557 mangsa daripada 641 keluarga setakat jam 12 tengah hari.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, hanya daerah Kemaman masih terjejas akibat bencana yang melanda negeri ini sejak kelmarin.

Empat PPS yang masih aktif adalah Balai Raya Meraga Beris yang menempatkan 11 mangsa, Sekolah Kebangsaan Kemasik (383 mangsa), Balai Raya Beris Nenas (19 mangsa) dan Balai Raya Padang Kemunting (29 mangsa).

Banjir di daerah Marang pulih sepenuhnya selepas PPS di Dewan Sivik Wakaf Tapai ditutup.

Ia selepas 13 mangsa daripada empat keluarga yang berada di sana dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat.

 

Sembilan negeri diramal hujan lebat petang ini

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melaporkan keadaan hujan lebat dan ribut petir sedang berlaku di sembilan negeri petang ini.

Menurut MetMalaysia, amaran cuaca buruk sehingga pukul 6 petang itu melibatkan seluruh kawasan di Pulau Pinang dan Perak.

“Di Kedah, amaran cuaca buruk itu melibatkan Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Pahang pula melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong dan Bera.

“Bagi Selangor, cuaca buruk dijangka tertumpu di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak dan Petaling, manakala bagi Negeri Sembilan melibatkan Jelebu dan Jempol,” katanya.

Dalam pada itu, amaran turut diberikan di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor, manakala di Sarawak pula melibatkan Kuching (Kuching), Serian dan Samarahan.

Amaran ribut petir juga melibatkan Sabah di Pedalaman (Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat dan Sandakan (Tongod, Telupid dan Kinabatangan). – KOSMO! ONLINE

Tiga sungai utama Kelantan pada paras berjaga-jaga - JPS

KOTA BHARU: Tiga sungai utama di Kelantan dicatatkan berada melebihi paras berjaga-jaga setakat 1 tengah hari ini.

Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai berkenaan adalah Sungai Kelantan di Kampung Sokor, Tanah Merah dengan ketinggian 18.43 meter berbanding paras berjaga-jaga 18.0 meter.

Sungai Golok di Rantau Panjang juga melebihi paras berjaga-jaga (7.00 meter) iaitu 7.38 meter.

Sementara itu Sungai Semerak di Pasir Puteh yang dicatatkan pada aras amaran pagi tadi susut kepada paras berjaga-jaga iaitu dengan ketinggian 2.02 meter.
Selain itu, semua sungai lain direkodkan berada pada paras normal.
 
-- BERNAMA

Pahang diramal banjir hingga Sabtu ini

KUANTAN - Pahang diramal banjir bermula Rabu hingga Sabtu ini susulan amaran hujan lebat tahap buruk dan waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Berdasarkan info grafik dimuat naik Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), ramalan awal banjir itu akan melibatkan kawasan lembangan sungai di kesemua 11 daerah di negeri ini.

Bagi daerah Kuantan, ia meliputi lembangan Sungai Pahang, Kuantan dan Cherating manakala di Rompin (Sungai Rompin, Endau, Pontian serta Tekek).

Daerah lain iaitu Pekan; Jerantut; Temerloh; Maran; Bera; Cameron Highlands; Lipis; Raub dan Bentong membabitkan lembangan Sungai Pahang.

Dalam pada itu, JPS memberitahu akan membuat pemantauan berterusan dan mengemaskini hebahan amaran banjir sekiranya hujan signifikan terus berlaku di lembangan sungai terbabit.

Ujar agensi berkenaan, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh yang dijangkakan.

Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my

Setakat jam 2.30 petang Khamis, portal tersebut melaporkan dua stesen paras air sungai di negeri itu berada di tahap waspada membabitkan Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan.

Banjir Dungun, Setiu pulih, 2,616 mangsa masih di 8 PPS di 3 daerah

KUALA TERENGGANU: Banjir yang melanda Dungun dan Setiu sejak semalam pulih selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan ditutup petang tadi.

Ia menyaksikan jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,616 orang daripada 651 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS setakat jam 4 petang.

Sebelum ini, seramai 2,787 mangsa daripada 650 keluarga yang terjejas berada di 13 PPS di lima daerah.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, tiga daerah yang masih terjejas adalah Kemaman, Hulu Terengganu dan Marang.

Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 2,560 mangsa daripada 639 keluarga ditempatkan di lima PPS.

Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2,579 orang daripada 594 keluarga yang ditempatkan di empat PPS pada jam 12 tengah hari.

Jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu juga menurun kepada 43 mangsa daripada lapan keluarga di dua PPS berbanding 121 mangsa daripada 32 keluarga di enam PPS sebelum ini

Di Marang, jumlah mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila 13 mangsa daripada empat keluarga masih berada di satu PPS.

Sementara itu, dua sungai di Terengganu merekodkan bacaan melepasi paras amaran manakala tiga lagi mencatatkan bacaan melepasi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, dua sungai yang melepasi paras amaran adalahSungai Nerus di Kampung Langkap (F1), Setiu berada pada paras 20.29 meter berbanding paras normal 17 m dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemamandengan bacaan 2.04 m (1 m).

Tiga lagi sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (11.58 m), Sungai Tersat di Kampung Sekayu (FI), Hulu Terengganu (19.02 m) dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.21 m).

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search