OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

SAR mangsa tanah runtuh Cameron Highlands diteruskan pagi ini

CAMERON HIGHLANDS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa insiden tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley, di sini disambung semula pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi berkata operasi bermula pada 8.30 pagi dengan melibatkan 158 anggota serta pegawai dari Pahang, Perak dan Selangor.

"SAR turut disertai pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya," katanya kepada Bernama di Pos Kawalan Bomba di lokasi insiden itu hari ini.

Beliau berkata dua anjing pengesan (K9) JBPM turut digerakkan bagi membantu operasi yang menumpukan sektor tengah runtuhan berhampiran lokasi dua mayat mangsa ditemukan semalam, dalam radius 50 meter. 

Menurut Md Gezani pemantauan oleh pihak JMG di lokasi setakat ini mendapati tiada pergerakan tanah baharu, namun operasi menyelamat terpaksa dihentikan sekiranya berlaku hujan lebat.

 

Tinjauan BERNAMA mendapati pasukan SAR dilihat membawa pelbagai peralatan menggali seperti cangkul, kit barangan asas serta pengusung dalam keadaan gerimis.

Mereka perlu berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk menuju ke lokasi runtuhan berikutan lokasi berkenaan tidak dapat diakses menggunakan kenderaan akibat berbukit.

Semalam, dua daripada lima mangsa yang tertimbus berjaya ditemukan dan telah dibawa keluar dari kawasan runtuhan.

Pada kira-kira 2.40 pagi semalam, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita dikhuatiri tertimbus selepas dua rumah pekerja yang dihuni kesemua mangsa ditimbus dalam insiden tanah runtuh itu.

– BERNAMA

2,953 mangsa banjir di empat negeri pagi ini - NADMA

KUALA LUMPUR: Seramai 2,953 mangsa banjir masih berlindung di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor setakat 6 pagi tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di Terengganu, sebanyak 1,188 mangsa ditempatkan di 10 PPS di Dungun, Besut (tujuh PPS, 416 mangsa), Setiu (empat PPS, 87 mangsa) dan Hulu Terengganu (tiga PPS, 121 mangsa).

Di Kelantan, enam PPS dibuka di Tanah Merah dengan menempatkan 325 mangsa, Kuala Krai (tiga PPS, 85 mangsa) dan Pasir Puteh (satu PPS, 28 mangsa) manakala di Pahang, satu PPS dibuka di Kuantan yang menempatkan 468 mangsa dan satu PPS di Rompin dengan sembilan mangsa.

Di Johor, 197 mangsa ditempatkan di satu PPS di Mersing dan 29 mangsa di satu PPS di Kota Tinggi. 

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

 

Sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang dan Mersing, Sungai Pungai, Sungai Johor dan Sungai Sedili Kecil di Kota Tinggi (Johor), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan), Sungai Pahang di Jerantut, Cameron Highlands, Kuantan, Maran dan Pekan, Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan 37 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Jalan Durian Mentangau di Dungun Terengganu, Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi, Johor dan Jalan Utama Panching di Kuantan, Pahang. – BERNAMA

 
 
 
 
 
 
 

 

Mangsa banjir Johor meningkat

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di dua daerah terjejas banjir di negeri ini meningkat setakat jam 8 pagi ini kepada 226 orang daripada 109 keluarga berbanding 190 orang daripada 75 keluarga jam 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata semua mangsa banjir kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Mersing dan Kota Tinggi.

 

"Mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat sedikit kepada 29 orang daripada sembilan keluarga pagi ini berbanding 23 mangsa daripada tujuh keluarga malam tadi.

"Jumlah mangsa banjir di Mersing juga sedikit meningkat menjadi 197 orang daripada 100 keluarga berbanding 167 orang daripada 68 keluarga pada malam tadi yang kini ditempatkan di sebuah PPS iaitu di PPS Kompleks Taman Negara Endau Rompin," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN). 

Enam jalan ditutup di Kota Tinggi

Sementara itu, laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor memaklumkan terdapat enam jalan di Kota Tinggi yang terjejas banjir dan pengguna diminta guna jalan alternatif.

Jalan Johor Bahru – Endau (RISDA dan Yatama City), Jalan Lok Heng / Mawai / Sungai Mas (Semalok) hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja, manakala Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) ditutup untuk semua kenderaan dan Jalan Johor Bahru – Endau (sebelum RNR Panti dan di RNR Panti) hanya dibuka satu lorong sahaja.

Semua pengguna yang ingin melalui laluan berkenaan boleh menggunakan jalan alternatif di Jalan Kota Tinggi - Mersing.

Tanah runtuh: Banyak pokok besar tumbang, mangsa tersepit celah dahan

CAMERON HIGHLANDS - Lokasi runtuhan di Batu 59, Blue Valley di sini dipenuhi dengan pokok besar yang tumbang bersama kegelongsoran tanah.

Perkara itu dimaklumkan Komander operasi mencari dan menyelamat, Wan Zaidi Wan Mokhtar dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands yang mengetuai pasukan awal ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pasukan pertama yang disertai enam anggota itu mula memasuki lokasi kejadian pada jam 3.24 pagi.

Menurutnya, keadaan di tempat runtuhan ketika itu hanya dipenuhi dengan timbunan pokok dan tanah selut menyebabkan sedikit kesukaran mengesan kedudukan mangsa.

"Semasa pemerhatian dijalankan, kita temui satu aliran air dari kawasan atas ke satu tempat yang kita syaki tapak rumah mangsa.

"Nampak ada takungan air di situ dan daripada penemuan itulah kita mulakan kerja-kerja mencari mangsa yang tertimbus," katanya kepada pemberita pada Sabtu.Wan Zaidi, 52, berkata, operasi mencari dilakukan dengan kaedah manual menggunakan peralatan seperti cangkul dan penyodok secara perlahan-lahan kerana takut akan mencederakan anggota badan mangsa.Katanya, kerja-kerja mengorek tanah yang dilakukan selama hampir dua jam akhirnya berjaya menemui satu mangsa pada jarak kira-kira dua meter dari tapak rumah. 

"Mangsa ditemui tersepit di celah-celah batang pokok. Keadaan mangsa masih sempurna dan lengkap berpakaian, cuma berselut dan alami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya.

Wan Zaidi yang telah menganggotai pasukan bomba sejak 32 tahun lalu berkata, maklumat saksi kejadian yang merupakan rakan kerja mangsa turut membantu gerak kerja dilakukan di tempat kejadian.

Ujarnya, mereka yang tinggal sekitar 50 meter dari lokasi tapak runtuhan ada mendengar dentuman kuat disertai bunyi pergerakan tanah dan pokok patah sebelum menyedari dua rumah di kawasan itu lenyap dibawah runtuhan.

"Pertama sekali runtuhan tanah ini tidak mengheret, ia terus menghempap dua rumah didiami mangsa.

"Berdasarkan jangkaan itu, kemungkinan semua mangsa tidak pergi jauh dan berada di sekitar kawasan runtuhan ini sahaja," katanya.

Bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 2.51 pagi.

Ketika kejadian semua mangsa yang dikenali Haphey, 36, isterinya, Om Myue, 38, bapa, Shing Lan Har, 56, serta dua rakan kerja lain, Shing Aung, 39, dan Thang Moung, 25, sedang tidur.

Difahamkan, sebelum kejadian hujan lebat dan berterusan melanda kawasan berkenaan sejak Rabu.

Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan pada Jumaat berjaya menemui dua mangsa iaitu Haphey dan seorang lagi yang belum dikenalpasti identiti sementara tiga lagi masih tertimbus.

Naik taraf jalan selepas Monsun Timur Laut

Kerja menaik taraf jalan di kawasan rendah dan sering banjir di Terengganu akan dilaksanakan selepas Monsun Timur Laut berakhir atau selepas Tahun Baharu Cina.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pejabat daerah sudah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya jalan rendah dimasukkan dalam perancangan terkini.

“Tindakan itu bagi mengurangkan risiko laluan jalan ditenggelami air,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung La, Hulu Besut, di sini semalam.

Katanya, Kementerian Kerja Raya menyediakan dana RM11.3 juta untuk membaiki jalan rosak akibat banjir di negeri ini.

“Kita juga akan melihat laluan sebelum ini tidak dinaiki air, tetapi kali ini ditenggelami banjir disebabkan faktor pembangunan serta kawasan takungan air di tambun dengan tanah hingga menimbulkan masalah lain.

“Setiap pembangunan dijalankan ada kepentingan dari segi ekonomi dan perlu ada tindakan susulan untuk mengatasi masalah berkaitan.

“Sebagai contoh kawasan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika sebelum ini tiada pemasangan pembentung, perlu dipasang selepas ini,” katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search