OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Rakyat senang hati jerebu makin ‘menjauh’

Selepas sekian lama terpengkap dalam jerebu tebal rentas sempadan sejak awal Ogos lepas, rakyat negara ini boleh menarik nafas lega dan bersyukur selepas beberapa tempat kembali cerah dan ramai teruja dengan situasi sebegini.

Jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut Indonesia khususnya di Kalimantan dan Sumatera sejak awal Ogos lalu mula menghilang dengan awan kelihatan menghiasi langit membiru yang sebelum ini seolah-olah ‘segan’ untuk menampakkan diri.

Sejak Ahad lalu , orang ramai yang teruja dengan cuaca yang begitu terang sejak sekian lama ‘terkurung’ dengan asap kiriman negara jiran meluahkan kesyukuran yang amat sangat dan berharap akan kekal begini selama-lamanya.

Ramai berkongsi kegembiraan itu dengan memuat naik di media sosial termasuk gambar menunjukkan langit Kuala Lumpur kelihatan cerah selepas begitu lama dalam keadaan suram.

Dengan gembira mereka memuat naik gambar mercu tanda seperti Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur kembali dapat dilihat dengan jelas, sekali gus membuatkan ramai yang seolah-olah terpesona dapat melihat semula langit membiru.

Ada juga yang mengatakan kualiti udara di Kuala Lumpur jauh lebih baik berbanding New Zealand.

Keadaan jerebu ini dijangka beransur-ansur pulih menjelang akhir bulan ini berikutan peralihan monsun yang membawa lebih banyak taburan hujan.

Jika ini terus berlarutan, ia merupakan satu berita gembira kerana orang ramai boleh menjalankan kehidupan harian seperti sebelum ini tanpa perlu memikirkan banyak perkara tertangguh akibat jerebu, selain dapat menghirup udara segar buat pertama kali selepas tiga bulan ‘merana’.

Tidak lagi perlu memikirkan soal sekolah ditutup akibat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan anak-anak terpaksa menghadiri kelas secara online di rumahnya yang sememangnya memberikan banyak cabaran kepada ibu bapa.

Ini tidak lagi dikira penyakit yang dihidapi orang ramai akibat jerebu sepeti batuk, demam, sakit tekak dan sukar bernafas terutamanya melibatkan kanak-kanak dan orang tua yang mudah terdedah dengan semua itu.

Mereka juga boleh melakukan aktiviti sihat yang sebelum ini tertangguh seperti berjoging, brisk walk, mendaki atau hiking, berbasikal dan sebagainya tanpa perlu risau soal kesihatan diri.

Diharapkan selepas ini, kerajaan Republik Indonesia lebih tegas dengan pihak yang membakar puluhan ibu hektar hutan untuk dibuat lahan pertanian sawit dengan mengenakan hukuman yang keras kerana menjejaskan nyawa dan kesihatan jutaan orang di negara tersebut dan juga negara jiran.

Kita tidak mahu pemerintah negara jiran hanya menggertak untuk mengambil tindakan kerana ini hanya membuat pihak yang buta hati dan perasaan itu akan terus bermaharajalela membakar hutan sesuka hati demi keuntungan kantung mereka saban tahun.

Walaupun hutan dibakar dengan sengaja saban tahun, jarang kita dengar pihak bertanggungjawab itu dikenakan tindakan. Itu yang membuatkan mereka semakin ‘galak’ merosakkan sumber alam yang memerlukan masa panjang untuk dipulihkan.

 

 

 

 

 

Diplomasi Anwar-Prabowo urus isu jerebu rentas sempadan

HUBUNGAN diplomatik antara Indonesia dengan Malaysia menjadi antara hubungan dua hala paling penting di Asia Tenggara.

Kedua-dua negara berkongsi sejarah, budaya, bahasa serta kepentingan ekonomi. Namun, hubungan itu tidak terlepas daripada pelbagai cabaran, termasuk isu kebakaran hutan dan tanah di Indonesia yang menyebabkan jerebu merentasi sempadan hingga menjejaskan Malaysia.

Fenomena ini berlaku secara berulang sejak beberapa dekad lalu dan sering menjadi perhatian awam serta kerajaan di kedua-dua negara.

Walaupun isu jerebu kadangkala menimbulkan ketegangan diplomatik, ia juga membuka ruang kepada kerjasama lebih erat dalam bidang alam sekitar.

Hakikatnya, kebakaran hutan bukan sahaja masalah domestik Indonesia, tetapi turut memberi kesan kepada negara jiran. Atas sebab itu, pendekatan berasaskan kerjasama dan saling memahami menjadi semakin penting dalam mengurus cabaran rentas sempadan ini.

Kebakaran hutan lazimnya berlaku di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan, terutama ketika musim kemarau.

Apabila kebakaran menjadi sukar dikawal, asap terhasil boleh bergerak merentasi sempadan dan menjejaskan kualiti udara di Malaysia. Situasi ini memberi kesan kepada kesihatan awam, aktiviti ekonomi, sektor pelancongan dan kehidupan harian masyarakat.

Oleh itu, isu jerebu sering berkembang daripada masalah alam sekitar kepada isu diplomatik yang memerlukan perhatian pemimpin kedua-dua negara.

Dari sudut Malaysia, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kebajikan rakyat terkesan akibat pencemaran udara.

Namun pada masa sama, Malaysia juga perlu mengekalkan hubungan baik dengan Indonesia sebagai rakan strategik utama di rantau ini.

Dalam konteks ini, kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan positif kerana beliau secara konsisten menekankan kepentingan dialog, persefahaman dan kerjasama serantau dalam menyelesaikan isu bersama.

Pendekatan sederhana dan diplomatik dibawa beliau membantu dalam memastikan perbezaan pandangan tidak berkembang menjadi pertikaian yang boleh menjejaskan hubungan dua hala.

Di pihak Indonesia pula, Presiden Prabowo Subianto berdepan cabaran untuk mengurus isu kebakaran hutan sambil memastikan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat terus dipelihara.

Dalam keadaan itu, diplomasi menjadi instrumen penting untuk menunjukkan komitmen Indonesia dalam menangani kebakaran hutan, memperkukuh kerjasama serantau dan mengekalkan keyakinan negara jiran terhadap kesungguhan Jakarta dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

Tangani isu jerebu secara konstruktif

Apa yang menarik, hubungan antara Prabowo dan Anwar memberikan peluang lebih besar untuk menangani isu jerebu secara konstruktif.

Kedua-dua pemimpin mempunyai kesedaran bahawa hubungan Indonesia-Malaysia jauh lebih luas daripada isu asap semata-mata. Perdagangan, pelaburan, keselamatan serantau, pendidikan, tenaga kerja dan kerjasama ASEAN menjadi kepentingan bersama yang perlu dipelihara.

Oleh itu, pendekatan menekankan kerjasama berbanding saling menyalahkan menjadi pilihan lebih realistik dan bermanfaat.

Dalam hubungan antarabangsa moden, cabaran alam sekitar semakin menjadi sebahagian agenda diplomasi. Isu jerebu menunjukkan sempadan politik tidak mampu menghalang kesan daripada kerosakan alam sekitar. Apa yang berlaku di satu negara boleh memberi kesan langsung kepada negara lain. Oleh itu, kejayaan mengurus isu ini bergantung kepada tahap kepercayaan dan kerjasama antara kerajaan yang terbabit.

Melalui kerangka ASEAN, kedua-dua negara mempunyai platform kukuh untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pemantauan kebakaran, perkongsian maklumat, pembangunan teknologi pengesanan awal serta usaha pemuliharaan alam sekitar.

Pendekatan sebegini lebih berkesan kerana ia menangani punca masalah dan bukannya hanya memberi tumpuan kepada kesannya.

Pada pandangan saya, isu jerebu tidak seharusnya dilihat sebagai faktor memisahkan Indonesia dan Malaysia. Sebaliknya, ia perlu dianggap sebagai cabaran bersama yang memerlukan tanggungjawab bersama.

Indonesia sememangnya memikul peranan utama kerana kebakaran berlaku dalam wilayahnya, namun penyelesaian jangka panjang memerlukan sokongan dan kerjasama dari negara jiran, termasuk Malaysia.

Dalam konteks ini, kepemimpinan Prabowo dan Anwar menjadi aset penting kepada kestabilan hubungan dua hala.

Jika Prabowo mewakili komitmen Indonesia untuk memperkukuh diplomasi alam sekitar dan meningkatkan pengurusan kebakaran hutan, Anwar pula memainkan peranan sebagai jambatan diplomasi yang menggalakkan dialog, persefahaman dan kerjasama serantau.

Gabungan kedua-dua pendekatan ini berpotensi memperkukuh lagi hubungan Indonesia-Malaysia pada masa hadapan.

Hakikatnya, kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan kekal sebagai cabaran penting dalam hubungan Indonesia-Malaysia.

Namun, dengan kepemimpinan pragmatik serta komitmen politik kukuh daripada Prabowo dan Anwar, isu ini boleh diurus melalui diplomasi matang dan kerjasama berterusan.

Dalam keadaan dunia semakin saling bergantung, kejayaan kedua-dua pemimpin mengendalikan cabaran ini bukan sahaja akan mengukuhkan hubungan dua hala, malah menjadi contoh penting mengenai bagaimana diplomasi serantau dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah alam sekitar yang memberi kesan kepada seluruh rantau Asia Tenggara.

Penulis adalah Pensyarah Bahagian Politik, Universiti Sumatera Utara (USU) dan Felo The Future Research, Malaysia

 

 

 

 

 

Kajian berkaitan RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan

KUALA LUMPUR: Kajian Baseline Pewujudan Akta Pengurangan Risiko Bencana susulan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Bencana Negara dijangka diselesaikan dalam tempoh 12 bulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata dapatan dan syor kajian yang dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan diteliti serta diselaraskan bersama kementerian serta agensi berkaitan sebelum cadangan dasar dan perundangan dimuktamadkan.

"Buat masa ini, garis masa khusus bagi pembentangan RUU Pengurusan Bencana Negara di Dewan Rakyat belum dapat ditetapkan.

"Ini kerana proses semasa masih membabitkan penelitian terhadap keperluan dan bentuk kerangka perundangan yang bersesuaian," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu perkembangan terkini penggubalan RUU Pengurusan Bencana Negara.

Ahmad Zahid berkata, hasil kajian itu akan menjadi satu daripada asas penting kepada NADMA dalam menentukan hala tuju pengukuhan tadbir urus bencana negara, khususnya dalam aspek pencegahan, pengurangan risiko dan peningkatan daya tahan masyarakat serta negara.

"Kerajaan sedang mengambil pendekatan untuk memastikan bentuk dan skop perundangan yang bakal dicadangkan benar-benar bersesuaian dengan keperluan pengurusan bencana negara dan tidak semata-mata menggubal undang-undang baharu tanpa terlebih dahulu mengenal pasti jurang sebenar dalam kerangka sedia ada.

"Pendekatan ini juga selaras dengan hala tuju pengurusan bencana negara yang menekankan kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi, tindakan awal, sistem amaran awal, struktur arahan yang jelas serta tindak balas yang pantas dan terselaras," katanya.

Cerun tanah runtuh di Paya Terubong stabil, MBPP pantau keselamatan

GEORGE TOWN: Cerun tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini semalam tidak menunjukkan tanda-tanda akan runtuh lagi selepas kerja-kerja mengalihkan paip air ke lokasi lebih selamat dilakukan semalam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran berkata, bagaimanapun, langkah berjaga-jaga masih perlu diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang terutama ketika hujan berterusan yang berisiko melemahkan struktur tanah.

“Selepas hujan berhenti dan paip-paip air dialihkan tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan cerun itu akan runtuh. Tapi kita masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan insiden ini tidak berulang kembali,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11 Tahun 2026, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.36 pagi semalam, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73, ditemukan maut selepas tertimbus di bawah runtuhan konkrit apabila tanah runtuh melanda sebuah rumah di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Air Itam.

Rajendran berkata, MBPP telah mengeluarkan notis henti kerja kepada pemaju selain mengarahkan kerja-kerja mitigasi dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan di tapak.

Katanya, kejadian itu akan disiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta kemungkinan turut melibatkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) manakala MBPP akan terus memantau dan menjalankan siasatan di kawasan berkenaan.

“Siasatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan bergantung kepada keadaan dan hasil pemeriksaan di lokasi.

:Bagaimanapun, tempoh itu bukan bermakna penduduk yang dipindahkan perlu menunggu sehingga siasatan selesai untuk kembali ke rumah masing-masing,” katanya.

Menurutnya, keputusan berhubung penempatan semula penduduk akan dibuat bersama pihak penyiasat, manakala urusan penempatan sementara sedang dikendalikan Pejabat Tanah.

Mengulas kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah yang menyebabkan dua kereta terjejas, beliau berkata, insiden itu bukan berpunca daripada kerja pembinaan sebaliknya melibatkan cerun lama yang mengalami kerosakan.

Menurutnya, hujan berterusan sepanjang tempoh peralihan monsun boleh menyebabkan tanah menjadi lemah apabila air bergerak masuk ke dalam struktur cerun.

Katanya, MBPP telah mengeluarkan surat kepada kontraktor dan pemaju sejak September lalu supaya meningkatkan langkah keselamatan di tapak pembinaan susulan keadaan cuaca yang berisiko. – UTUSAN

Pantau cuaca, elak terkandas di Selatan Thai

PATTANI (THAILAND): Rakyat Malaysia yang merancang melancong ke Selatan Thailand diminta memantau rapat perkembangan cuaca dan meningkatkan langkah berjaga-jaga susulan banjir kilat yang mula melanda beberapa kawasan tumpuan pelancong, termasuk Danok, Hat Yai dan Yala.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, kebanyakan wilayah di Selatan Thailand kini mula dilanda hujan, namun pihak berkuasa negara itu masih belum dapat menjangkakan bila banjir besar seperti yang berlaku sebelum ini akan melanda semula.

Katanya, rakyat Malaysia perlu sentiasa mengikuti laporan cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa Thailand bagi mengelakkan risiko terperangkap atau terkandas akibat banjir.

“Setakat ini, kebanyakan wilayah Selatan Thailand sudah mula menerima hujan dan banjir kecil juga dilaporkan berlaku. Mereka mesti mengikuti laporan cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa Thailand.

“Rakyat Malaysia juga perlu mengambil langkah berwaspada kerana hujan lebat sudah mula melanda Selatan Thailand,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat tahunan Alumni Universiti Malaysia di Thailand (MUAT) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi menasihatkan pemandu Malaysia supaya lebih berhati-hati ketika memandu kerana hujan lebat boleh menyebabkan jalan licin dan berbahaya.

Beliau turut mengingatkan pelancong supaya memastikan kenderaan masing-masing mempunyai perlindungan insurans bencana sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir. – UTUSAN
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search