OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pekan Sungai Lembing kembali dinaiki air

Pekan Sungai Lembing kembali dinaiki air

Pekan Sungai Lembing, di sini kembali dilanda banjir petang semalam, kali ketiga dilaporkan berlaku dalam tempoh kira-kira sebulan dengan beberapa jalan menuju kawasan itu juga dilapor terhalang.

Banjir dikatakan berpunca limpahan Sungai Lembing yang direkod melepasi paras bahaya, iaitu 40.31 meter (m) semalam, berbanding 36m paras normal.

Ia menyebabkan beberapa laluan di Jalan Kuantan-sungai Lembing, di sini tidak boleh dilalui kenderaan ringan selepas dinaiki air antara 0.2 dan 0.5m.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah melalui perkongsian di Facebook memaklumkan jalan utama ke Bandar Sungai Lembing dinaiki air, manakala jalan dalam pula berlaku kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang sejak malam kelmarin.

“Saya merasai kebuntuan mangsa banjir di Sungai Lembing apabila kedua-dua laluan ini terhalang

dan menyukarkan pihak berwajib untuk menghantar bantuan kepada mereka.

“Oleh itu, saya mengupah jengkaut untuk membersihkan jalan dalam yang agak tinggi sebagai laluan alternatif bagi tujuan penghantaran bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing,” katanya.

Dalam pada itu, Facebook Roadcare Kawasan Kuantan-p1 melaporkan, Jalan Sungai Lembing di Pasir Kemudi ditutup kepada kenderaan ringan berikutan dinaiki air sehingga 0.5 meter.

Jalan Sungai Lembing di Jambatan Sungai Danau dan di Ladang Sawit Kampung Kolek turut ditutup kepada kenderaan ringan berikutan banjir dengan penduduk di kawasan rendah, terutama berhampiran sungai dinasihat bersiap sedia untuk berpindah jika paras air terus meningkat.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, seramai 171 mangsa daripada 74 keluarga di Sungai Lembing dipindahkan ke dua PPS, iaitu di SMK Sungai Lembing dan di Kampung Batu 6 Sungai Lembing.

2,626 di PPS tiga negeri

Sementara itu, Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan 2,626 mangsa banjir berlindung di 31 PPS di tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Di Terengganu, mangsa banjir terus meningkat kepada 2,105 berbanding 1,541 orang pada sebelah pagi, dengan NADMA melaporkan 10 PPS beroperasi di daerah Setiu menempatkan 1,048 mangsa, Besut (lapan PPS, 480 orang), Hulu Terengganu (lima PPS, 294 orang) dan Dungun (empat PPS, 283 orang).

Dua PPS di daerah Kemaman yang menempatkan 24 orang ditutup.

NADMA turut memaklumkan jumlah mangsa banjir di Pasir Puteh, Kelantan menurun kepada 350 orang di dua PPS, manakala 171 mangsa berlindung di dua PPS di Kuantan, Pahang.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search