OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tanah runtuh Paya Terubong: Penduduk bimbang keadaan cerun, air lumpur seperti 'teh tarik' masih mengalir

Tanah runtuh Paya Terubong: Penduduk bimbang keadaan cerun, air lumpur seperti 'teh tarik' masih mengalir

GEORGETOWN: Penduduk Taman Seri Rambai, dekat Paya Terubong, di sini, menggesa pihak berkaitan meneliti semula keadaan cerun di kawasan itu bagi memastikan keselamatan susulan tanah runtuh mengorbankan seorang doktor, kelmarin.

Penduduk, Teh Kian Hui, 34, berkata air berlumpur seperti 'teh tarik' dari kawasan runtuhan masih mengalir di hadapan rumahnya, sekali gus menimbulkan kebimbangan kejadian sama berulang.

Katanya, keluarganya tidak lena tidur sejak kejadian itu kerana bimbang berlaku runtuhan lebih buruk, terutama memandangkan rumahnya hanya kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

"Saya kini tinggal bersama isteri, ibu dan makcik yang sudah tua, jadi bimbang hendak tinggalkan rumah.

"Dari jauh sudah boleh lihat keadaan cerun bukit itu. Hanya sebahagiannya mempunyai dinding penahan, manakala sebahagian lagi tidak mempunyai struktur berkenaan, termasuk di belakang rumah mangsa," katanya.

Kian Hui yang bekerja sebagai jurugambar berkata, kejadian seumpama itu pernah berlaku 2017 apabila air mengalir deras dari kawasan berbukit, namun tidak membabitkan kehilangan nyawa dan hanya menyebabkan sedikit kerosakan harta benda.

Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa tempatan bersama pemaju dan kontraktor terbabit meneliti semula keadaan kawasan bukit berkenaan serta memastikan kestabilan dan keselamatannya.

"Jangan tunggu sehingga kejadian lebih buruk berlaku, ketika itu sudah tiada guna," katanya.

Mengimbas kejadian kelmarin, Kian Hui berkata dia melihat air berlumpur mengalir deras dari dinding penahan berhampiran rumah mangsa ketika hujan lebat pada malam sebelumnya.

"Sehinggalah pada pagi itu saya dengar bunyi kuat dan melihat tanah sudah runtuh di bahagian belakang rumah mangsa.

"Keluarga saya sudah tinggal di sini sejak lebih 40 tahun lalu dan kenal dengan keluarga mangsa. Sudah tentu kami sedih dengan kehilangannya," katanya.

Tinjauan di lokasi mendapati Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Paya Terubong membantu membersihkan halaman rumah penduduk yang masih digenangi air.

Pengerusinya, Cheah Kok Beng, berkata lima anggota pasukan itu diminta oleh kontraktor membantu membersihkan laluan masuk ke rumah penduduk.

"Hujan lebat pagi tadi sehingga tengah hari menyebabkan air dari kawasan berkenaan (runtuhan) mengalir di hadapan rumah penduduk.

"Ia membabitkan enam rumah antara 30 hingga 50 meter dari lokasi runtuhan," katanya.

Kelmarin, Dr Wong Kar Lin, 73, maut selepas bahagian belakang rumahnya dihempap runtuhan tanah dalam kejadian di Taman Seri Rambai, Paya Terubong.

Mangsa ditemukan tertimbus di bahagian dapur selepas kejadian dilaporkan kepada pasukan keselamatan pada jam 8.36 pagi.

 

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search