OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Siklon arnab dijangka badai pantai timur India: IMD

Siklon arnab dijangka badai pantai timur India: IMD

NEW DELHI, 28 Okt: Siklon Arnab, yang membawa kelajuan angin mencecah hampir 130 kilometer sejam (kmj), dijangka membadai kawasan pantai timur dan tenggara India pada awal pagi Rabu, menurut Jabatan Meteorologi India (IMD) pada Selasa.

Ribuan penduduk telah dipindahkan dari kawasan pesisir pantai yang terjejas ke lokasi lebih selamat, manakala bekalan elektrik ditutup selama 24 jam di kebanyakan kawasan yang terkesan akibat siklon berkenaan, termasuk Visakhapatnam di negeri selatan Andhra Pradesh.

Sekolah dan institusi pendidikan lain turut ditutup untuk beberapa hari akan datang di sekurang-kurangnya 14 daerah terjejas di Andhra Pradesh susulan cuaca buruk yang melanda kawasan-kawasan terbabit. Lebih 20 penerbangan yang berlepas atau mendarat di lapangan terbang Vijayawada dan Visakhapatnam di Andhra Pradesh sama ada dibatalkan atau dijadualkan semula.

“Ia berkemungkinan besar bergerak menghala ke barat-barat laut dalam beberapa jam akan datang, kemudian ke barat laut dan melintasi pantai Andhra Pradesh serta Yanam antara Bapatla dan Visakhapatnam, berhampiran selatan Yanam sebagai ribut siklon amat buruk dengan kelajuan angin kencang berterusan maksimum 125-135 kmj dengan tiupan kencang mencecah 150 kmj menjelang tengah hari 28 Oktober,” menurut IMD dalam satu kenyataan pada Selasa.

Laporan media tempatan menyatakan cuaca buruk disertai laut bergelora dan angin kencang, bersama kenaikan air pasang ribut dengan ketinggian ombak mencecah satu hingga dua meter melebihi paras pasang surut astronomi, dijangka melanda kawasan pesisir pantai Andhra Pradesh.-TVS

 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search