OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Syor ASEAN 'pulaukan' Indonesia susulan isu jerebu: Bekas menteri Indonesia kecam Syed Saddiq

Syor ASEAN 'pulaukan' Indonesia susulan isu jerebu: Bekas menteri Indonesia kecam Syed Saddiq

JAKARTA: Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi, membidas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan gesaan Ahli Parlimen Muar itu supaya ASEAN 'memulaukan' Indonesia berikutan masalah jerebu rentas sempadan yang berulang.

Lutfi berkata, masalah jerebu bukan peluang untuk meraih publisiti politik, murahan, sebaliknya harus ada simpati pada anggota bomba Indonesia yang terkorban ketika memadamkan kebakaran, manakala ratusan ribu rakyat negara itu terpaksa menyedut asap.

Beliau juga menegaskan, syarikat Malaysia yang mengendalikan ladang di Indonesia perlu turut bertanggungjawab terhadap krisis berkenaan.

Katanya, kumpulan perladangan Malaysia menguasai sehingga 3.4 juta hektar tanah di negara itu, manakala sebahagiannya membiayai operasi melalui bank Malaysia.

"Setiap syarikat yang melanggar peraturan perlu dikenakan tindakan sama ada dari Indonesia atau Malaysia.

"Namun, jangan sesekali menghina seluruh negara yang memberikan tanah dan lesen kepada industri anda untuk berkembang maju," katanya menerusi Instagram.

Lutfi berkata, ketika Amerika Syarikat (AS) sebelum ini melarang import daripada pengeluar minyak sawit Malaysia, FGV Holdings dan Sime Darby Plantation, berikutan dakwaan buruh paksa, namun Indonesia tidak mengecam Malaysia.

"Adakah Indonesia menganggap seluruh Malaysia perlu dipulaukan kerana perkara itu? Tidak sama sekali?," katanya.

Beliau turut berkata, laporan Greenpeace yang dirujuk Syed Saddiq ketika perbahasan mengenal pasti 19 tompok panas kebakaran di kawasan konsesi Indonesia itu yang dikaitkan dengan kumpulan Malaysia.

"Jika anda mahukan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan, siasat syarikat dan rantaian bekalan mereka.

"Jika anda tidak memahami cara industri ini beroperasi, jangan jadikan seluruh negara saya sebagai sasaran," katanya.

Lutfi pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Indonesia dari 14 Februari hingga 20 Oktober 2014 di bawah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, sebelum kembali memegang jawatan itu dari 23 Disember 2020 hingga 15 Jun 2022 ketika pentadbiran Presiden Joko Widodo.

Kenyataan beliau menyusuli gesaan Syed Saddiq di Dewan Rakyat minggu lalu supaya Malaysia menggerakkan negara ASEAN untuk mengenakan tekanan diplomatik dan kewangan terhadap Indonesia berhubung masalah jerebu rentas sempadan yang berulang.

Ketika membahaskan Belanjawan 2027, Syed Saddiq menggesa Malaysia menggerakkan negara ASEAN menentang masalah jerebu.

Ini termasuk menghentikan pembiayaan kepada syarikat yang dikaitkan dengan pembakaran terbuka serta menggerakkan pengguna untuk memberi tekanan kepada perniagaan yang terbabit dalam kebakaran itu.

"Anda perlu menganggap mereka sebagai orang yang perlu dipulaukan di rantau ini," kata Syed Saddiq.

Isnin lalu, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan notis kepada tiga lagi syarikat Indonesia berhubung kebakaran di Kalimantan.

Syarikat berkenaan disyaki menyumbang kepada jerebu di Singapura. Perkembangan itu menjadikan jumlah syarikat yang disasarkan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura kepada 10 syarikat.

Asap daripada kebakaran hutan di Indonesia menyelubungi beberapa kawasan di Malaysia dan Singapura sejak beberapa minggu lalu dengan cuaca kering berkaitan fenomena El Nino memburukkan lagi kesan kebakaran berkenaan.

Minggu lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata semakan dengan syarikat berkaitan mendapati kebanyakan kebakaran yang dikesan di Indonesia berlaku di luar kawasan konsesi kelapa sawit milik syarikat Malaysia. - AGENSI

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search