Belgium bergelut padam kebakaran hutan terburuk
- Admin UKK
- Berita
BRUSSELS: Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api marak yang merebak di kawasan hutan simpan terbesar Belgium, dengan pihak berkuasa menyifatkannya sebagai kebakaran hutan terburuk yang pernah melanda negara itu.
Penduduk di dua kampung berhampiran diarahkan berpindah selepas api memusnahkan kira-kira satu pertiga kawasan High Fens, manakala pihak berkuasa tempatan memberi amaran kebakaran yang tercetus sejak Jumaat itu boleh merebak hingga ke kawasan kediaman.
Pesawat pengebom air dan helikopter dari beberapa negara Eropah turut dikerah bagi membantu anggota bomba memadam kebakaran di taman berkenaan, yang terletak berhampiran sempadan timur Belgium dengan Jerman.
Pesuruhjaya Eropah, Hadja Lahbib berkata, dua pesawat pengebom air dari Sweden serta dua helikopter, masing-masing dari Republik Czech dan Belanda, sedang dihantar untuk membantu operasi pemadaman.
Kebakaran itu adalah antara beberapa kebakaran hutan yang berlaku di seluruh Eropah pada Sabtu, termasuk kebakaran hutan di barat daya Perancis yang memaksa ratusan penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Pihak berkuasa tempatan Belgium berkata, kebakaran itu masih belum dapat dikawal.
Jurucakap pihak berkuasa serantau Wallonia, Nicolas Yernaux menyifatkan kebakaran itu sebagai yang terbesar dalam sejarah moden Belgium.
Sebuah gimnasium berhampiran turut dibuka sebagai pusat perlindungan bagi penduduk yang dipindahkan.
Pihak berkuasa berkata, usaha memadam kebakaran terjejas akibat keadaan cuaca serta bentuk muka bumi taman berkenaan yang terdiri daripada kawasan berpaya, tanah semak dan hutan.
Yernaux berkata, anggota bomba terpaksa membiarkan sebahagian kawasan tanah semak terbakar kerana kawasan itu amat sukar untuk diakses.
