OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Gempa bumi: Malaysia masih selamat

Gempa bumi: Malaysia masih selamat

PETALING JAYA: Malaysia masih selamat daripada sebarang ancaman gempa bumi termasuk impak terhadap kerosakan struktur bangunan.

Ini kerana, kejadian gempa yang berlaku di negara ini secara umumnya berintensiti rendah dan tidak memudaratkan harta benda atau mengancam nyawa.

Ketua Kluster Kelestarian dan Kesihatan Bumi, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, oleh itu Malaysia tidak memerlukan tindakan dasar atau pembinaan prasarana khusus bagi menghadapi risiko gempa bumi di negara ini.

Jelas beliau, Malaysia berada di atas kepingan tektonik Sunda yang mempunyai aktiviti tekto­nik kurang aktif berbanding kawasan yang terletak di sepanjang sempadan kepingan tektonik.

Katanya, keadaan tektonik negara tidak banyak berubah sejak dahulu dan dijangka kekal sedemikian pada masa akan datang.

Namun jelasnya, kecanggihan alat pengukuran serta pe­ningkatan kesedaran ma­syarakat menyebabkan ancaman gempa bumi kini lebih dirasai oleh orang ramai.

“Gempa bumi adalah fe­nome­na alam yang lumrah, ada tempatnya ia berlaku de­ngan sangat aktif. Contohnya, sepanjang sempadan kepingan tektonik, seperti di Sumatera, Kepulauan Jawa, Filipina dan Jepun.

“Malaysia, terutamanya pantai barat Semenanjung Malaysia menerima kesan gempa bumi yang berlaku di Sumatera. Jika gempa bumi bermagnitud besar, bangunan tinggi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur boleh bergoyang.

“Beberapa peristiwa lepas menunjukkan gegaran ini tidak merosakkan struktur bangunan. Oleh itu, dengan piawaian pembinaan bangunan sedia ada, Malaysia masih selamat daripada ancaman gempa bumi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas persediaan negara menghadapi fenomena berke­naan, Ibrahim berkata, pendekatan pendidikan awam dan tindakan pencegahan kendiri memadai untuk meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat tanpa memerlukan langkah berskala besar.

Katanya, keadaan di Sabah khususnya Ranau dan Tawau memerlukan pendekatan yang berbeza kerana risiko di kedua- dua kawasan itu lebih khusus berbanding kebanyakan kawasan lain di negara ini, namun ia boleh ditangani melalui pengurusan guna tanah yang baik.

“Di Sabah, terutamanya di kawasan Ranau dan Tawau, kita boleh berhadapan dengan gempa bumi bermagnitud sederhana. Dengan pendidikan awam dan pengurusan guna tanah yang baik, ia bukan menjadi isu bencana alam yang perlu dirisaukan.

“Hanya di Ranau dan Tawau, pencegahan berasaskan pendekatan guna tanah dan atau reka bentuk pembinaan yang mesra risiko bencana diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah dan Penyelidik Kejuruteraan Gempa Bumi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ir. Dr. Rozaina Ismail pula berkata, gempa susulan sememangnya boleh berlaku selepas kejadian gempa utama, terutama dalam tempoh beberapa jam, hari atau minggu.

Bagaimanapun, bilangan dan magnitud gempa susulan lazimnya berkurangan secara beransur-ansur mengikut masa, selain masa dan lokasi kejadian itu tidak dapat diramalkan de­ngan tepat.

“Kita tidak seharusnya panik dengan kejadian gempa yang berlaku di Indonesia, tetapi kita juga tidak boleh mengambil mudah.

“Risiko gempa di Malaysia mungkin lebih rendah berban­ding negara seperti Indonesia atau Jepun tetapi ia bukan sifar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, sekiranya gempa susulan berlaku berhampiran sumber gempa yang sama de­ngan magnitud dan kedalaman yang sesuai, gegarannya berpotensi dirasai semula di Malaysia khususnya kawasan yang lebih hampir dengan sumber tersebut.

Beliau berkata, kejadian gempa bumi bermagnitud 6.1 di Semenanjung Minahassa, Sulawesi kelmarin menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan pantai timur Sabah termasuk Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

“Jadi, masyarakat perlu melihat kemungkinan gempa susulan sebagai risiko yang perlu dipantau bukannya sesuatu yang menimbulkan panik,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search