Pengusaha Tadika, Taska di Sarawak dibenarkan beroperasi jika IPU melebihi 200
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 13 Ogos: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak membenarkan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika)) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) beroperasi untuk menampung keperluan ibu bapa yang bekerja, meskipun Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah paras 200 dan ke atas.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kehadiran kanak-kanak ke institusi berkenaan adalah tertakluk kepada pertimbangan serta pilihan ibu bapa masing-masing dalam mendepani situasi jerebu berterusan di negeri ini.
Beliau berkata, Tadika dan Taska bertindak sebagai sistem sokongan penting kepada ibu bapa yang bekerja, selain menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan terkawal dilengkapi pendingin udara serta sistem penapis udara bersesuaian berasaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Bagi Tadika dan Taska yang sepatutnya ditutup apabila IPU mencapai 200 dan ke atas, pusat-pusat ini boleh dibuka bagi menampung kanak-kanak yang ibu bapanya masih perlu bekerja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Fatimah yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) Sarawak berkata, semua aktiviti luar bilik darjah di institusi berkenaan hendaklah digantung serta-merta sepanjang tempoh ini.
Bagi mengurangkan pendedahan di luar rumah, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak memakai pelitup muka semasa dalam perjalanan dari rumah ke pusat jagaan berkenaan.
Beliau turut menegaskan supaya saringan kesihatan dilakukan terhadap kanak-kanak sejurus tiba di pusat jagaan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan masuk, manakala kanak-kanak yang tidak sihat perlu kekal berada di rumah.
“Sekiranya kanak-kanak menunjukkan gejala semasa berada di pusat berkenaan, ibu bapa akan dihubungi untuk membawa mereka pulang,” tegas beliau.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah asma, penyakit pernafasan atau penyakit kronik lain, ibu bapa perlu memastikan ubat penyedut (inhaler) yang dipreskripsikan dibawa bersama, selain memaklumkan tahap kesihatan serta keperluan penjagaan anak kepada pihak pengurusan pusat berkenaan.
Fatimah turut memohon ibu bapa memastikan anak-anak minum air secukupnya bagi kekal terhidrat sepanjang hari. – TVS
