Jerebu: Antara kesihatan, alam sekitar dan pembangunan mampan
- Admin UKK
- Berita
Setiap kali negara kembali dilanda jerebu, ia mengingatkan kita kepada tahun 1997, ketika krisis jerebu yang begitu teruk melanda negara dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras bahaya. Pada ketika itu, keadaan jerebu bukan sekadar menyebabkan langit kelihatan kelabu dan udara sukar untuk dihirup, malah ia menjadi satu krisis besar sehingga Malaysia mengisytiharkan darurat bagi kawasan yang terjejas.
Hampir tiga dekad kemudian, kita masih berdepan dengan persoalan yang sama. Mengapa kita masih perlu berulang kali melalui episod jerebu? Kebakaran hutan dan pembakaran terbuka, termasuk kebakaran hutan serta kawasan gambut di Indonesia, sering menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada jerebu rentas sempadan yang menjejaskan Malaysia.
Apabila jerebu melanda, kesannya dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Kesihatan manusia terjejas apabila kualiti udara merosot, khususnya bagi kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan. Aktiviti harian juga terganggu. Sekolah mungkin terpaksa ditutup, aktiviti luar dibatalkan dan perjalanan udara serta pengangkutan boleh terjejas akibat jarak penglihatan yang rendah.
Kesan jerebu juga jauh lebih besar daripada apa yang dapat dilihat pada bacaan IPU. Alam sekitar turut menerima kesan apabila kebakaran hutan memusnahkan habitat, mengancam biodiversiti dan menyumbang kepada pelepasan karbon. Ekonomi juga terjejas apabila produktiviti menurun, sektor pelancongan terkesan, aktiviti perniagaan terganggu dan kos berkaitan kesihatan meningkat.
Inilah sebabnya isu jerebu perlu dilihat melalui lensa Matlamat Pembangunan Mampan. Jerebu mempunyai kaitan dengan sebahagian besar matlamat yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015 bagi pembangunan mampan yang akan memberi manfaat besar serta meningkatkan kualiti hidup manusia.
Antara Matlamat Pembangunan Mampan yang berkait rapat dengan masalah jerebu termasuk Matlamat 3, Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan, kerana udara bersih merupakan asas kepada kesihatan manusia. Masalah jerebu juga berkait rapat dengan Matlamat 4, Pendidikan Berkualiti, apabila persekolahan dan proses pembelajaran terganggu kerana sekolah perlu ditutup jika IPU mencecah 200. Ia juga berkait dengan Matlamat 8, Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi, kerana pencemaran udara boleh menjejaskan produktiviti dan aktiviti ekonomi.
Pada masa yang sama, Matlamat 11, Bandar dan Komuniti Mampan, bukan sekadar berkaitan dengan pembangunan infrastruktur atau pembinaan bandar yang moden, tetapi turut menekankan keperluan memastikan masyarakat dapat hidup dalam persekitaran yang sihat, selamat dan berkualiti.
Dalam konteks jerebu juga, Matlamat 13, Tindakan Iklim, menjadi semakin relevan kerana kebakaran hutan dan tanah gambut bukan sahaja menghasilkan asap yang menjejaskan kualiti udara, tetapi turut melepaskan sejumlah besar karbon ke atmosfera. Yang paling jelas, Matlamat 15, Hidupan di Darat, menekankan kepentingan melindungi ekosistem daratan, hutan dan biodiversiti.
Namun, terdapat satu persoalan yang lebih besar: bagaimana kita mahu mencapai Agenda 2030 jika masalah asas seperti udara bersih masih belum dapat kita selesaikan secara berkesan?
Agenda 2030 bukan sekadar dokumen antarabangsa. Ia sepatutnya diterjemahkan kepada kualiti kehidupan seharian manusia melalui udara yang kita hirup, sekolah yang anak-anak kita hadiri, hutan yang kita lindungi dan ekonomi yang kita bina.
Pembangunan tidak boleh dianggap mampan jika kemajuan ekonomi dicapai dengan mengorbankan kesihatan manusia dan alam sekitar.
Jerebu juga mengajar kita bahawa tiada sempadan bagi masalah alam sekitar. Asap tidak mengenal sempadan negara. Begitu juga dengan perubahan iklim, pencemaran dan kemusnahan biodiversiti. Oleh itu, penyelesaian kepada masalah ini memerlukan kerjasama serantau, penguatkuasaan yang lebih berkesan, pengurusan hutan yang bertanggungjawab serta penglibatan masyarakat. Jika jerebu terus berulang tanpa penyelesaian yang mampan, Agenda 2030 mungkin hanya akan kekal sebagai impian di atas kertas.
Tetapi kita masih mempunyai pilihan.
Kita boleh memilih untuk terus bertindak apabila jerebu datang, atau kita boleh mula bertindak sebelum jerebu datang lagi. Inilah semangat yang diterapkan dalam Matlamat 17, Perkongsian untuk Matlamat. Tiada satu negara, satu kerajaan, satu agensi atau satu komuniti yang mampu menyelesaikan masalah ini bersendirian. Kita memerlukan kerjasama antara negara, kerajaan, agensi penguatkuasaan, sektor swasta, institusi penyelidikan, NGO dan, yang paling penting, masyarakat itu sendiri.
Jerebu tidak mengenal sempadan. Maka, penyelesaiannya juga tidak boleh dibatasi oleh sempadan.
Dan akhirnya, pembangunan mampan bukan sekadar tentang menyelamatkan bumi suatu hari nanti.
Persoalannya bukan lagi, “Bilakah jerebu akan datang?” Tetapi, “Apakah yang akan kita lakukan bagi menghalangnya daripada datang lagi?”
Artikel daripada
Nur Afisha Yusuf
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
UiTM Sarawak
