Lekukan tropika di Filipina: 19 kematian sedang disahkan, 2.2 juta terjejas
- Admin UKK
- Berita
MANILA: Pejabat Pertahanan Awam (OCD) Filipina sedang mengesahkan laporan bahawa 19 orang maut susulan landaan Lekukan Tropika Luis dan Maymay serta monsun barat daya, manakala kira-kira 2.2 juta orang terjejas akibat siri gangguan cuaca berkenaan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Pegawai Penerangan Awam OCD Diego Mariano dalam mesej kepada wartawan pada Selasa berkata 12 daripada laporan kematian yang sedang disahkan itu adalah di Benguet, empat di Rizal dan tiga di Batangas.
OCD turut melaporkan 15 orang cedera, termasuk 12 di Benguet dan masing-masing seorang di Ilocos Sur, Rizal dan Cavite. Mariano berkata empat orang masih hilang iaitu tiga di Benguet dan seorang di Batangas.
Seramai 646,676 keluarga terjejas yang merangkumi 2,270,862 orang adalah di Wilayah Ilocos, Lembah Cagayan, Luzon Tengah, Wilayah Bicol, Visayas Barat, Semenanjung Zamboanga, Calabarzon, Wilayah Cordillera, Wilayah Ibu Negara dan Mimaropa.
Sebanyak 919 pusat pemindahan kini menempatkan kira-kira 26,174 keluarga yang terdiri daripada 94,997 individu.
Sementara itu, kerosakan infrastruktur dianggarkan berjumlah PHP1.46 juta manakala kerosakan sektor pertanian pula mencecah PHP135.33 juta. – BERNAMA-PNA
