OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir, tanah runtuh di Bangladesh sudah ragut sekurang-kurangnya 44 nyawa

Banjir, tanah runtuh di Bangladesh sudah ragut sekurang-kurangnya 44 nyawa

DHAKA: Banjir dan tanah runtuh akibat hujan monsun lebat berterusan sejak beberapa hari lalu meragut sekurang-kurangnya 44 nyawa di tenggara Bangladesh.

Kejadian itu turut menyebabkan lebih sejuta penduduk terkandas ketika pihak berkuasa giat menyalurkan bantuan kepada komuniti yang terjejas.

Kementerian Pengurusan Bencana memaklumkan, banjir yang melanda tujuh daerah iaitu Chattogram, Cox's Bazar, Bandarban, Rangamati, Khagrachhari, Moulvibazar dan Habiganj mengganggu kehidupan harian serta menyebabkan 267,918 isi rumah terkandas.

Gangguan bekalan elektrik, kerosakan jalan raya dan rangkaian komunikasi yang perlahan turut menjejaskan operasi menyelamat serta penyaluran bantuan.

Ramai penduduk tidak dapat memasak sejak beberapa hari selepas rumah mereka ditenggelami air selain sebahagian lagi berdepan kesukaran apabila dapur dan ruang kediaman diselaputi lumpur tebal.

"Air masih bertakung di dalam rumah dan kami tiada cara untuk memasak. Bekalan makanan kering sudah habis, dan kami mengharungi malam dalam kegelapan bersama anak-anak kerana bekalan elektrik terputus," kata penduduk kawasan terjejas di Chattogram, Nurul Islam.

Ribuan keluarga kini bergantung kepada makanan kering selain bantuan kecemasan.

Jalan raya dan jambatan yang rosak menyukarkan petugas bantuan menyalurkan bekalan ke beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.

Anggota tentera darat dan tentera laut menggunakan bot untuk menghantar makanan, air minuman, ubat-ubatan serta keperluan asas lain ke komuniti yang terputus hubungan ketika pihak berkuasa memperhebat usaha bantuan.

"Kerajaan sedang melakukan segala yang termampu untuk membantu mangsa banjir.

"Bantuan, bekalan air minuman bersih dan ubat-ubatan sedang diagihkan, dan kami menggesa penduduk yang rumah mereka ditenggelami air supaya berpindah ke pusat perlindungan terdekat," kata Menteri Pengurusan Bencana dan Bantuan, Iqbal Hossain, ketika melawat kawasan terjejas di Chattogram.

Hujan lebat turut mencetuskan tanah runtuh di kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar awal minggu ini, mengorbankan 16 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

Lebih sejuta pelarian Rohingya kini tinggal di kem berkenaan, dengan kebanyakan penempatan sementara dibina di lereng bukit yang curam dan gondol, sekali gus terdedah kepada risiko tanah runtuh sepanjang musim monsun.

Bangladesh antara negara yang paling kerap dilanda bencana di dunia, dengan hujan monsun bermusim sering mengakibatkan banjir, hakisan tebing sungai dan tanah runtuh.

Saintis berkata perubahan iklim menjadikan kejadian hujan lebat melampau semakin kerap dan lebih ekstrem, sekali gus meningkatkan skala serta tahap kemusnahan bencana seumpama itu.

- REUTERS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search