NADMA laksana lima tindakan sepanjang Monsun Barat Daya 2026
- Admin UKK
- Berita
PUCHONG – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaksanakan lima tindakan utama penyelarasan sepanjang musim Monsun Barat Daya (MBD) bermula pertengahan Mei lalu dan dijangka berterusan sehingga September ini.
Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim berkata, ia adalah pendekatan kerajaan yang bukan lagi bersifat menunggu sesuatu insiden berlaku tetapi tindakan awal, pengurangan risiko serta kesiapsiagaan secara menyeluruh.
Menurutnya, NADMA memperkukuh pemantauan situasi secara berterusan serta penyampaian amaran awal kepada semua pihak berkepentingan.
“Melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (National Disaster Command Centre – NDCC) yang beroperasi 24 jam sehari, NADMA menyelaras pemantauan situasi semasa dengan menghimpunkan data dan maklumat daripada pelbagai agensi teknikal.
Meor menambah, hasil dapatan maklumat tersebut kemudiannya dikongsi kepada semua agensi berkaitan bagi membolehkan keputusan dibuat secara pantas, berasaskan data dan mengikut perkembangan situasi sebenar di lapangan.
“Saya juga ingin mengajak masyarakat dan rakan-rakan media untuk memuat turun aplikasi MyDIMS yang dibangunkan oleh NADMA sebagai platform maklumat bencana di hujung jari.
“Pengguna boleh menerima notifikasi secara masa nyata sekiranya berada dalam lingkungan 25 kilometer daripada lokasi bencana,” katanya ketika berucap di majlis sesi libat urus bersama media mengenai kesiapsiagaan kerajaan menghadapi Monsun Barat Daya 2026 di Markas SMART, Puchong, hari ini.
Meor turut memberitahu, tindakan utama penyelarasan sepanjang MBD juga melibatkan penyelarasan dan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA).
Katanya, selain itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta mempertingkatkan pemantauan di 83 lokasi titik panas berisiko tinggi berlaku kebakaran terbuka untuk tindakan pencegahan serta penguatkuasaan awal.
Fokus juga tertumpu kepada perlindungan kesihatan rakyat serta usaha menyebarkan maklumat dengan pantas kepada rakyat.
Tegas beliau, pengurusan risiko MBD tidak hanya diukur melalui jumlah operasi yang dilaksanakan sebaliknya, ia perlu diukur daripada pemahaman sebenar rakyat dengan memahami risiko, mengambil langkah berjaga-jaga dan kesan terhadap masyarakat dapat diminimumkan.
Terdahulu majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dato’ Sri Nor Hisham Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Zamri Ramli dan pelbagai agensi lain. – MalaysiaGazette
