OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Ban pecah, paras banjir Kampung RTB Bukit Changgang naik

Ban pecah, paras banjir Kampung RTB Bukit Changgang naik

KUALA LANGAT: Paras banjir di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang didakwa semakin meningkat sejak ban Sungai Langat berhampiran kawasan tersebut pecah malam tadi.

Sehingga pukul 11.30 pagi tadi, jalan-jalan utama di perkampungan tersebut dilihat sudah pun digenangi air walaupun cuaca cerah ketika ini susulan limpahan air dari Sungai Langat yang berada pada paras amaran, 4.18 meter.

Seorang penduduk di Lorong Melati, Amizah Tor Muti, 42, berkata paras air dikatakan meningkat sejak awal pagi secara perlahan-lahan memberi peluang kepada penduduk berpindah dan menyelamatkan barang berharga.

“Air memang semakin naik, pagi tadi kira-kira pukul 6.45 ketika saya keluar bekerja air berada di paras buku lali. Namun sejam apabila tiba di Seremban, saya menerima panggilan daripada adik bahawa air sudah melepasi paras peha.

“Saya terus pulang dan tidak bekerja, apabila tiba, laluan masuk sudah terhalang dekat pintu gerbang. Kemudian saya berjalan kaki untuk pulang ke rumah bagi mengambil barang penting, ketika itu paras air sudah melepasi dada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Awal pagi tadi, akhbar ini melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menasihatkan penduduk di kawasan terjejas seperti di kawasan tersebut dan Taman Langat Utama supaya berpindah.

Saranan tersebut diberi selepas 32 rumah dinaiki air sehingga satu meter susulan limpahan air Sungai Langat akibat ban pecah.

Laporan Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang dibuka dan seramai 142 mangsa daripada 102 keluarga ditempatkan di sana.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh memaklumkan, beliau meminta kerajaan negeri menyegerakan projek naik taraf ban di sana yang baharu bermula sejak seminggu lalu.

“Saya akan memastikan penduduk-penduduk dibantu dan paling penting mereka selamat dan tidak ditimpa sebarang kejadian tidak diingini. Saya juga memantau aktiviti menyelamat oleh agensi-agensi kerajaan.

“Kampung itu pula terletak di kawasan yang rendah selain berhampiran dengan Sungai Langat, Jadi kita harap, bila ban baharu siap nanti tiada lagi kejadian seperti itu berulang,” jelasnya.

Beliau juga menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya meneliti semula jadual penyelenggaraan parit dan longkang di kampung berkenaan supaya dapat mengelakkan kejadian banjir kilat. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search