Filipina rekodkan 1,100 gempa susulan
- Admin UKK
- Berita
MANILA: Jumlah gempa susulan yang direkodkan berikutan gempa bumi magnitud 7.8 yang melanda Sarangani di Filipina pada Isnin lalu meningkat kepada 1,100, setakat 8 pagi semalam, menurut pakar seismologi negara itu.
The Straits Times melaporkan, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) berkata, gegaran susulan bermagnitud antara 1.3 hingga 6.7 menunjukkan aktiviti seismik berhampiran kawasan di pusat gempa berkenaan.
Gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda pantai Maasim, Sarangani, pada 7.37 pagi Isnin lalu, mencetuskan gelombang tsunami dan menyebabkan kerosakan infrastruktur, bekalan elektrik dan kemudahan komunikasi di seluruh bahagian Mindanao.
Phivolcs sebelum ini memberi amaran bahawa gegaran susulan boleh berterusan selama lebih sebulan. Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 40 maut susulan gempa berkenaan.
Gempa bumi itu berlaku awal pagi ketika sekolah dibuka semula di Filipina selepas cuti panjang dengan gegaran terasa kuat di sedozen wilayah, dan turut dirasai 420 kilometer (km) jauhnya di Bandar Manado di Pulau Sulawesi, Indonesia.
Susulan gempa itu, amaran tsunami turut dikeluarkan di selatan Filipina, utara Indonesia dan Sabah, Malaysia.
