OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Projek naik taraf sistem perparitan Jalan Hills atasi masalah hakisan, tingkat keselamatan penduduk

Projek naik taraf sistem perparitan Jalan Hills atasi masalah hakisan, tingkat keselamatan penduduk

MIRI, 8 Jun : Masalah hakisan tanah dan kerosakan longkang yang sekian lama membelenggu penduduk di Jalan Hills kini berada di landasan penyelesaian apabila projek naik taraf sistem peparitan di kawasan itu giat dilaksanakan.

Inisiatif berkenaan dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam memastikan keselamatan penduduk serta kestabilan struktur tanah di kawasan berisiko, selain meningkatkan kecekapan sistem saliran bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin memaklumkan, projek tersebut dilaksanakan menerusi peruntukan Dana Kecemasan Jabatan Kerja Raya (JKR) berjumlah RM450,000 selepas isu berkenaan dikenal pasti memerlukan tindakan segera.

Menurut beliau, hasil proses tender menunjukkan kos pelaksanaan projek adalah sebanyak RM449,800, sekali gus berada dalam lingkungan peruntukan yang telah diluluskan.

“Peruntukan ini membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan segera dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri, khususnya dalam menangani masalah hakisan dan kerosakan longkang yang telah lama berlaku di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan tapak bagi meninjau kemajuan projek pemulihan cerun serta pembinaan semula longkang konkrit yang runtuh di Jalan Hills, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lee berkata projek berkenaan telah bermula pada 22 April lalu dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 21 Julai depan, dengan tempoh pelaksanaan selama tiga bulan.

Antara skop utama kerja yang sedang dijalankan termasuk pembinaan longkang konkrit sepanjang 61 meter dengan lebar 1.5 meter, selain pembinaan serta pembersihan longkang sedia ada sepanjang 91 meter.

Turut dilaksanakan ialah pemasangan culvert menggunakan paip PVC sepanjang 14 meter, yang berfungsi meningkatkan aliran air serta mengurangkan tekanan terhadap struktur saliran, terutama ketika hujan lebat.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil maklum kebimbangan penduduk setempat berhubung kewujudan satu kawasan berongga berhampiran tapak projek yang berpotensi menjejaskan struktur pagar konkrit serta laluan masuk ke kediaman mereka.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pihak kontraktor dan Majlis Bandaraya Miri supaya memastikan kerja-kerja pembaikan serta pengukuhan dilaksanakan secara menyeluruh dan berkualiti tinggi.

“Saya mahu pastikan semua aspek keselamatan diberi keutamaan, termasuk mengelakkan risiko hakisan berulang yang boleh menjejaskan harta benda dan keselamatan penduduk,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee turut memaklumkan satu lagi projek pemulihan hakisan sedang dilaksanakan di Taman Hilltop, melibatkan kawasan berhampiran tiga buah rumah yang terjejas.

Projek tersebut menggunakan peruntukan kecemasan berjumlah RM400,000, susulan kejadian hakisan yang berpunca daripada hujan lebat dan banjir sebelum ini.

Menurut beliau, tindakan segera amat penting bagi memastikan kawasan terjejas tidak terus mengalami kerosakan, selain menjamin keselamatan penghuni yang tinggal berhampiran.

Pelaksanaan kedua-dua projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu infrastruktur secara pantas dan berkesan, khususnya melibatkan risiko keselamatan awam. – TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search