18 sistem amaran awal pergerakan tanah bakal dipasang di Kundasang
- Admin UKK
- Berita
RANAU, 6 Jun: Sebanyak 18 sistem amaran awal pergerakan tanah bakal dipasang di sekitar Kundasang sebelum penghujung tahun ini bagi memperkukuh pemantauan kawasan berisiko geobencana.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pemasangan itu merupakan sebahagian usaha kerajaan meningkatkan keselamatan penduduk di kawasan yang terdedah kepada risiko gempa bumi, tanah runtuh, aliran puing dan kegagalan cerun.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Sistem Amaran Awal Bencana Geologi Aliran Puing dan Penanda Aras Pergerakan Sesar Aktif di SK Mesilou, Kundasang, hari ini.
Menurut Arthur, ketika ini Sabah mempunyai empat sistem amaran awal pergerakan tanah yang sedang beroperasi di SMK Mesilou, Kepayan Ridge, Kokol dan Kinarut, manakala tiga sistem amaran awal aliran puing beroperasi di Sungai Kadamaian dan Sungai Mesilou.
Katanya, kementerian merancang menambah 18 lagi sistem amaran awal pergerakan tanah di sekitar Kundasang yang dijangka siap dipasang sebelum penghujung tahun ini.
Beliau berkata sistem berkenaan membolehkan pemantauan masa nyata dilakukan bagi mengesan perubahan geologi serta memberi amaran awal sekiranya berlaku ancaman bencana.
Selain itu, tiga Penanda Aras Pergerakan Sesar (PAPS) turut dipasang di sekitar Gunung Kinabalu bagi memantau pergerakan sesar aktif serta mengumpul data saintifik berkaitan aktiviti geologi.
Arthur berkata, data yang dikumpulkan bukan sahaja digunakan untuk tujuan amaran awal, malah membantu kerajaan merancang pembangunan yang lebih selamat termasuk penentuan lokasi sekolah, kemudahan awam dan infrastruktur pada masa hadapan.
Beliau berkata, analisis semasa menunjukkan kawasan sekitar Gunung Kinabalu tidak dijangka mengalami gempa bumi melebihi magnitud tujuh, namun pemantauan berterusan tetap penting bagi memastikan sebarang risiko dapat dikesan lebih awal.
Menurutnya, pendekatan kerajaan kini lebih tertumpu kepada langkah pencegahan dan kesiapsiagaan bagi mengurangkan impak bencana terhadap penduduk serta menyokong pembangunan mampan di kawasan Kundasang dan Ranau. -TVS
