Siasatan NFA takungan banjir, Hannah tuntut pertemuan dengan SPRM
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh hari ini menegaskan beliau kekal berpandangan urus niaga penukaran status kolam takungan banjir di ibu negara tidak berjalan dengan betul, walaupun siasatan pihak berkuasa sudah menyatakan tidak berlaku sebarang kesalahan rasuah.
Susulan itu, Ahli Parlimen Segambut itu menuntut satu pertemuan segera dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) dalam siasatan seperti yang dilaporkan semalam.
Beliau juga mengakui setakat ini hanya menerima laporan mengenai status siasatan isu itu menerusi laporan berita sahaja dan penting untuk beliau mengetahui perkara itu dengan lebih lanjut.
"Walaupun SPRM sudah menyatakan tiada unsur rasuah, saya enggan bergantung kepada laporan (berita) itu dan mahu mengadakan pertemuan dengan SPRM untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.
"Isu ini sebenarnya tidak hanya dibangkitkan oleh kami, tetapi dibangkitkan di Parlimen pada tahun 2021, iaitu apabila kelulusan pembangunan diberikan secara tidak konsisten dengan perancangan, dan dalam kes ini kita tahu kolam takungan banjir sudah diserahkan menyebabkan kapasiti air dikurangkan sebanyak 70 peratus.
"Oleh demikian, walaupun SPRM mengatakan tiada unsur rasuah, ia tidak bermakna urus niaga berkenaan adalah betul atau dibuat dengan baik.
"Bagi saya, ia adalah satu keputusan bodoh (foolish decision) apabila kita berdepan dengan kekurangan tanah di Kuala Lumpur, tetapi kolam takungan air diserahkan," katanya selepas Majlis Program Komuniti KL Bebas Asap Rokok (KLBAR) di Gombak, hari ini.
SPRM siasat pada 2022
Semalam BH melaporkan, SPRM menerima keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung isu penukaran status tanah kolam takungan banjir di ibu negara selepas siasatan dijalankan agensi itu pada 2022.
Keputusan tiada unsur rasuah dikenal pasti dan NFA itu diterima SPRM selepas siasatan berkenaan dirujuk kepada DPP pada 2023.
Siasatan yang dijalankan oleh SPRM membabitkan penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara termasuk di Taman Wahyu bagi tujuan pembangunan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, mendedahkan pihaknya sebelum ini sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan proses kelulusan beberapa projek pembangunan yang dikatakan menjejaskan fungsi kolam takungan air di sekitar Kuala Lumpur.
Harap jumpa SPRM minggu depan
Mengulas lanjut, Hannah turut mengharapkan pertemuan dengan agensi antirasuah itu akan berlangsung seawal minggu hadapan.
"Saya mengharapkan SPRM melalui kepimpinan Ketua Pesuruhjaya baharu, harapan saya ialah setiap laporan yang dilakukan terhadap kes-kes yang membabitkan kepentingan awam khasnya boleh disiasat dengan cepat dan hasil siasatan itu dimaklumkan kepada orang awam," katanya.
Beliau juga mengesahkan tidak akan membuat laporan baharu kepada SPRM dalam isu itu selagi penjelasan lanjut siasatan terdahulu tidak diterimanya.
Tambah Hannah, pada masa hadapan beliau menetapkan satu langkah tegas terhadap pembangunan 17 lot tanah yang ditukar pemilikan berkenaan.
"Kami perlu memastikan syarat teknikal yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat dipenuhi sebelum kebenaran merancang diluluskan.
"Ini kerana kita ketika berurusan dengan dua kumpulan pihak berkepentingan, iaitu kumpulan pertama ialah penduduk Kuala Lumpur. Apabila kolam takungan tidak mencukupi dan kawasan badan air berkurang, kapasiti untuk menampung air hujan akan terjejas.
"Kumpulan kedua pula ialah pembeli yang membeli hartanah di kawasan itu. Kita sudah ada satu pembangunan sedia ada di situ, dan mereka berdepan dengan banjir kilat," katanya.
Tambahnya, masalah banjir yang dihadapi penduduk yang berada dalam pembangunan itu adalah mustahil untuk diselesaikan oleh kerajaan hari ini.
"Menurut maklumat JPS, ketika saya melawat bersama mereka, mereka menyatakan ketika ini agak mustahil untuk menyelenggara dan mengurus kolam takungan itu kerana jentera mereka tidak dapat masuk ke kawasan itu.
"Jadi apabila kita membuat keputusan untuk menjadi lebih tegas dalam kelulusan kebenaran merancang, kita sebenarnya mahu melindungi kedua-dua kumpulan ini, iaitu penduduk Kuala Lumpur dan juga pembeli," katanya.
