Operasi pembenihan awan di empat negeri bermula 6 April ini
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melaksanakan empat siri Operasi Pembenihan Awan di Perak, Kedah, Perlis dan Johor pada 6 hingga 9 April ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sebagai langkah proaktif menangani penurunan paras takungan air empangan akibat cuaca panas.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius fenomena cuaca panas susulan peralihan monsun yang bermula 29 Mac lalu dan dijangka berterusan sehingga Mei ini.
“Untuk itu, NADMA akan menyelaras dan melaksanakan empat siri pembenihan awan di Perak, Kedah, Perlis dan Johor pada 6 hingga 9 April.
“Tindakan segera ini adalah sebagai langkah proaktif bagi menangani keadaan kadar takungan air empangan di negeri itu yang semakin menurun akibat cuaca panas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pembenihan awan itu memberi fokus kepada 11 lokasi empangan iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis; Empangan Ahning, Empangan Pedu dan Empangan Muda di Kedah; Empangan Temenggor dan Empangan Bukit Merah di Perak dan Empangan Lebam, Empangan Upper Layang, Empangan Lower Layang, Empangan Gunung Pulai dan Empangan Machap di Johor.
Ahmad Zahid berkata, NADMA bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menyediakan pesawat C130 Hercules serta pasukan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), menyelaras aspek teknikal serta saintifik pembenihan awan.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), saya menyeru supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memastikan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) diaktifkan dan diperkasa.
“Ini bagi memastikan keputusan yang hendak diambil adalah merujuk kepada maklumat teknikal dan berasaskan data,” katanya.
Katanya, JPBN perlu bertindak awal dengan mengenalpasti keperluan rakyat, pertanian dan komersial seperti penghantaran bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki ke kawasan yang mengalami gangguan bekalan air kritikal serta permohonan pelaksanaan pembenihan awan bagi meningkatkan aras air empangan dengan lebih tepat.
“Selain itu, JPBN perlu mengenal pasti kaedah terbaik sebagai strategi jangka sederhana termasuk mengenal pasti kawasan takungan air semasa musim hujan untuk kegunaan ketika cuaca panas.
“Pada masa sama, semua agensi kerajaan perlu mempergiat tindakan bagi memastikan kumpulan sasar masing-masing tidak terjejas, khususnya dalam sektor bekalan makanan, pertanian, kesihatan awam, pendidikan, keusahawanan, penternakan dan lain lain lagi yang dijangka terjejas,” katanya.- UTUSAN
