Gelombang kedua banjir, PPS pertama dibuka di Sarawak
- Admin UKK
- Berita
Kuching: Seramai 25 penduduk daripada lapan keluarga menjadi mangsa pertama banjir gelombang kedua tahun ini, berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Mereka adalah penduduk Kampung Seruyuk, di Sebuyau dalam Bahagian Samarahan yang terjejas akibat banjir selepas hujan berterusan sejak semalam.
Mangsa banjir itu kini berlindung di bangunan Masjid Lama Kampung Seruyuk yang dibuka sebagai PPS mulai jam 8 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah, hari ini.
Berdasarkan maklumat cuaca di laman web rasmi MetMalaysia kawasan berisiko di Sarawak ialah Kuching, Samarahan dan Mukah (Matu, Dalat dan Mukah).
Di Sabah pula cuaca buruk itu diramal berlaku di Sandakan (Telupid, Beluran dan Kudat).
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak terus memantau keadaan berikutan hujan berterusan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, rondaan dilakukan di beberapa kawasan berisiko banjir terutama yang berdekatan sungai serta taman perumahan yang dikenal pasti sering dilanda banjir.
