OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Bangkit selepas kemusnahan banjir

Bangkit selepas kemusnahan banjir

ARAU: Banjir besar melanda negeri ini pada November lalu menyaksikan Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini antara yang teruk terjejas dengan tahap kemusnahan sehingga 90 peratus.

Banjir yang disifatkan terburuk dalam tempoh 15 tahun itu menyebabkan kemusnahan bilik darjah, bilik muzik, pusat komputer, bilik guru, kantin selain peralatan seperti buku latihan murid, rak buku, meja tulis serta pelbagai lagi kelengkapan lain.

Bagaimanapun, bencana tersebut tidak mematahkan semangat barisan pentadbir sekolah berkenaan yang bangkit melakukan persediaan bagi menyambut murid-murid sempena sesi baharu persekolahan Isnin ini.

Semalam, warga sekolah, ibu bapa dan murid-murid bersama-sama bergotong-royong melakukan persiapan terakhir menjelang sesi pembukaan sekolah berkenaan.

Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim berkata, semua warga sekolah dan ibu bapa bersama hadir bagi sesi gotong-royong tersebut dan melakukan persiapan pembukaan sekolah khususnya di kelas masing-masing.

Katanya, pasca banjir sebelum ini, guru, ibu bapa dengan keterlibatan pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Pendidikan negeri membantu membersihkan sekolah yang memakan masa lebih sebulan.

“Banjir besar baru-baru ini menyaksikan kita berdepan lebih 90 peratus kemusnahan. Namun sekolah bangkit semula dengan penambahbaikan dan menyediakan keselesaan di sekolah termasuk mengecat semula kelas-kelas serta membaik pulih kantin.

“STB antara sekolah yang paling teruk terjejas ekoran banjir besar tersebut. Semua pihak memainkan peranan dalam menyambut kemasukan murid bagi sesi baharu persekolahan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk sesi tahun ini, sebanyak 157 murid tahun satu bakal mendaftar di STB dengan keseluruhan murid sekolah tersebut pula seramai 1,007.

Nor Zaitun memberitahu, dalam tempoh banjir dan pasca bencana tersebut, murid-murid menjalani kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Kehadiran murid-murid membantu gotong-royong lebih awal memandangkan sekolah sebelum ini ditutup dan murid-murid menjalani PdPR. Murid-murid dan guru masing-masing membersih serta menghias kelas yang kelihatan sangat cantik,” katanya.-UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search