IPD Lubok Antu aktif pantau kawasan risiko sempena Monsun Timur Laut
- Admin UKK
- Berita
LUBOK ANTU, 3 Nov: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu kini giat melaksanakan pemantauan bencana sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko banjir.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, pasukan pemantau bencana yang digerakkan sejak hampir sebulan lalu melibatkan anggota dari Balai Polis Lubok Antu dan Balai Polis Engkilili, dengan fokus pemantauan di kawasan-kawasan berisiko seperti SPS 1 & 2 Batang Ai, Kampung Melayu, Kampung Kutai, Pangkalan Batang Ai, Riverine Pekan Lubok Antu, tebingan Sungai Engkilili, Stuga Baru, Nanga Kesit, Lubok Tedong, Geligau dan Kumpang Langgir.
Selain pemantauan kampung dan kawasan tebingan, tahap paras air di Empangan Batang Ai turut diperhatikan dari semasa ke semasa.
Inisiatif ini bertujuan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terjamin sekiranya berlaku bencana seperti banjir atau tanah runtuh.
Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap perubahan cuaca mendadak dan peningkatan paras air, khususnya pada waktu malam.
Sebarang kejadian boleh dilaporkan segera ke Balai Polis Lubok Antu di talian 083-584102 dan Balai Polis Engkilili di talian 083-563019.-TVS
