21 keluarga Rumah Panjang Chengki Manggun terima bantuan bina semula rumah
- Admin UKK
- Berita
MIRI, 27 Okt: Sebanyak 21 keluarga di Rumah Panjang Chengki, Sungai Sebatu, Niah yang terlibat dalam kebakaran pada 31 Disember 2024, menerima Bantuan Skim Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) untuk membina semula kediaman mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, setiap rumah akan menerima peruntukan bahan binaan yang akan diuruskan melalui Pejabat Daerah subis, bagi memastikan proses pembinaan berjalan lancar.
“Urusan tender dan pembekalan bahan akan dikendalikan oleh Pejabat Daerah Subis. Kita jangka proses teknikal ini selesai menjelang Januari 2026 sebelum tender dikeluarkan bagi pembekalan bahan binaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) Rumah Panjang Chengki Manggun, Sungai Sebatu, Niah, hari ini.
Menurut beliau, sebelum ini mangsa turut menerima bantuan awal sebanyak RM66,000 melalui peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan MRP bagi membina tempat tinggal sementara.
“Sekarang mereka sudah mempunyai tempat tinggal sementara hasil bantuan tersebut. Apabila pembinaan rumah utama dimulakan kelak, rumah sementara itu akan dijadikan dapur,” katanya lagi.
Tambah beliau, pembinaan rumah kekal akan dijalankan oleh penduduk rumah panjang sendiri berdasarkan reka bentuk pilihan mereka, manakala senarai keperluan bahan binaan akan disediakan bersama Pejabat Daerah Subis.
“Antara bahan yang akan disenaraikan termasuk atap, lantai, simen dan bata. Kerajaan menanggung sepenuhnya kos bahan binaan bernilai RM70,000 bagi setiap pintu,” ujarnya.
