Kerjasama ASEAN penting atasi krisis jerebu
- Admin UKK
- Berita
FENOMENA jerebu berlaku sejak 1972. Insiden besar berlaku antara 1987 hingga 1998 apabila lebih 5 juta ekar hutan di Sumatera dan Kalimantan terbakar, dikaitkan dengan fenomena El-Nino terburuk dalam tempoh 50 tahun.
Jerebu terus berulang pada 2005 dan 2016, dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300 sehingga menjejaskan Malaysia dan Singapura. Situasi ini sering berlaku ketika Monsun Barat Daya, apabila asap tebal merentas sempadan.
Perkembangan terkini menunjukkan wujud usaha bersama negara serantau. Kerajaan Indonesia melaksanakan pembenihan awan di kawasan titik panas, manakala Malaysia menghantar laporan harian kepada Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ACCTHP).
Pusat ini ditubuhkan pada Sidang ASEAN ke-43 (2023) bagi menyelaras pemantauan kualiti udara, mengurus kecemasan, membina kerjasama teknikal dan berkongsi data saintifik serta sumber kewangan.
Antara langkah penting ialah pemantauan titik panas melalui satelit, meningkatkan akauntabiliti korporat, penguatkuasaan undang-undang, kawalan pembakaran terbuka peringkat komuniti serta kempen kesedaran awam. Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) diiktiraf sebagai mekanisme penting mengubah sikap masyarakat agar tidak mengulangi tabiat merosakkan alam sekitar.
Punca utama jerebu ialah faktor manusia dan ekonomi. Kaedah tebang dan bakar pertanian dipilih kerana murah, manakala tanah gambut yang mudah terbakar menyulitkan pemadaman. Fenomena El Nino serta permintaan minyak sawit turut mempercepatkan pembukaan tanah secara agresif. Di samping itu, isu tadbir urus tanah dan adat tradisi masyarakat menambah cabaran dalam penguatkuasaan.
Kesan jerebu sangat meluas. Dari aspek kesihatan, IPU melebihi 101 dikategorikan tidak sihat, dengan gejala seperti batuk, sesak nafas, pedih mata dan sakit kepala. Golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas serta pesakit jantung dan paru-paru.
Jerebu juga menjejaskan haiwan liar melalui masalah pernafasan, kekurangan zat makanan dan pencemaran habitat, seterusnya mengganggu ekosistem, pendebungaan dan produktiviti tumbuhan.
Selain itu, kesan ekonomi turut ketara, melibatkan sektor industri, pelancongan, pertanian, pengangkutan dan perbelanjaan kerajaan. Justeru, usaha serantau seperti Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN (APMS) 2023-2030 dan kajian institusi tempatan serta antarabangsa sangat penting dalam pemulihan tanah gambut dan pengurusan krisis.-UTUSAN
