NGO mahu hantar bantuan makanan pada Orang Asli pada musim tengkujuh perlu rujuk PKOB
- Admin UKK
- Berita
GUA MUSANG: Badan bukan kerajaan (NGO) atau kumpulan pacuan empat roda yang mahu membekalkan bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) digesa berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di jajahan ini.
Pengerusi PKOB Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail, berkata langkah itu bagi membolehkan pihaknya membuat penyelarasan kepada pihak yang berhasrat menghantar bantuan pada musim tengkujuh ini.
Katanya, kemasukan banyak kenderaan luar ke penempatan penduduk Orang Asli terutama di kawasan pedalaman boleh menyebabkan jalan masuk ke kawasan itu rosak teruk.
"Mana-mana pihak NGO atau berkumpulan yang mahu menghantar makanan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman jajahan ini boleh menghubungi PKOB bagi memudahkan kami menyelaraskan bantuan yang akan diagihkan bagi persiapan menghadapi musim tengkujuh.
"Kami tidak menggalakkan mana-mana pihak masuk ke kawasan pedalaman kerana boleh menyebabkan jalan rosak hingga menyukarkan penduduk keluar jika berlaku hal kecemasan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata pihaknya menghargai niat baik NGO datang membantu penduduk Orang Asli di pedalaman, namun ia memberi lebih masalah kepada penduduk untuk keluar jika berlaku kecemasan kerana jalan rosak.
"Keadaan cuaca hujan dan tanah yang basah boleh menyebabkan jalan rosak apabila dilalui banyak kenderaan pacuan empat roda.
"Jadi ada baiknya jika sumbangan diserahkan kepada PKOB atau Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menguruskannya," katanya.
Beliau berkata, hampir setiap tahun penduduk Orang Asli di pedalaman berdepan masalah jalan rosak apabila tiba musim tengkujuh.
"Jadi, saya berharap jalan perhubungan desa dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud berkata, pula berkata penduduk Orang Asli berharap pihak berkuasa dapat mengetatkan kawalan kepada pihak yang ingin masuk mengadakan program di perkampungan Orang Asli ketika musim tengkujuh.
Katanya, setiap kali musim tengkujuh, masyarakat Orang Asli terjejas kerana tidak dapat keluar melakukan urusan harian dan membeli barangan keperluan kerana laluan rosak teruk.
