OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pengurusan bencana: Pelaburan dalam kesiapsagaan lebih menguntungkan - APPGM-DRM

Pengurusan bencana: Pelaburan dalam kesiapsagaan lebih menguntungkan - APPGM-DRM

KUALA LUMPUR: Pelaburan dalam ketahanan dan kesiapsiagaan lebih memberi pulangan jangka panjang berbanding tindakan reaktif selepas berlakunya sesuatu bencana, kata Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-Pengurusan Risiko Bencana (APPGM-DRM), Zahir Hassan.

Menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas, beliau berkata pihaknya menghargai usaha kerajaan dalam menyediakan peruntukan itu dengan mengambil kira perkara sedemikian termasuk RM2.2 bilion bagi 55 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

"Langkah ini menunjukkan pendekatan proaktif untuk melindungi nyawa, mata pencarian dan kestabilan ekonomi jangka panjang," katanya dalam sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026, turut mengumumkan peruntukan RM460 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara dan RM210 juta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membangunkan Sistem Amaran Awal.

Zahir, yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, berkata APPGM-DRM bersama dengan Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana memberi komitmen untuk terus memainkan peranan sebagai jambatan antara pembuat dasar, institusi pendidikan dan masyarakat dalam memperkukuh agenda daya tahan negara.

 

"Sempena Hari Antarabangsa Pengurangan Risiko Bencana, kami sekali lagi menyeru semua pihak untuk membiayai daya tahan, bukan bencana - memastikan setiap pelaburan hari ini memperkukuh keselamatan, kelestarian dan kemakmuran negara," katanya.

Zahir juga berkata dengan kos bencana global dianggarkan hampir AS$2.3 trilion, Hari Antarabangsa Pengurangan Risiko Bencana yang disambut setiap 13 Okt mengingatkan bahawa setiap ringgit yang dilaburkan dalam pengurangan risiko dapat mengelakkan kerugian jauh lebih besar.

– BERNAMA

 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search