Gunung berapi Lewotobi Laki Laki meletus kolum abu cecah 9,500m
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA, 15 Okt: Gunung berapi Lewotobi Laki-laki di wilayah Nusa Tenggara Timur dilaporkan meletus besar pada jam 9.21 pagi waktu tempatan hari ini, dengan kolum abu tebal mencecah ketinggian sekitar 8,000 meter dari puncak atau kira-kira 9,500 meter dari paras laut.
Menurut Pengamat Gunung Api Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Herman Yosef, kolum abu berwarna kelabu pekat itu dilihat condong ke arah utara dan barat laut.
“Letusan ini direkodkan di seismogram dengan amplitud maksimum 47.3 milimeter dan tempoh 3 minit 1 saat serta menghala ke arah utara,” katanya.
Herman turut memaklumkan bahawa bunyi dentuman kuat kedengaran dari Pos Pengamatan Gunung Lewotobi Laki-laki di Flores Timur.
Ketika ini, gunung berapi tersebut berada pada Status Level IV (Awas), iaitu tahap amaran tertinggi dalam sistem pemantauan gunung berapi di Indonesia.
Sehubungan itu, pihak berkuasa melarang sebarang aktiviti dalam radius 6 kilometer dari puncak gunung, serta di sektor barat daya hingga timur laut sejauh 7 kilometer.
Penduduk yang terjejas akibat hujan abu vulkanik dinasihatkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko gangguan pernafasan. – TVS
