Projek mitigasi banjir Jepak tingkat sistem saliran
- Admin UKK
- Berita
BINTULU, 15 Sept: Projek pembinaan parit monsun sepanjang satu kilometer dari Kampung Warisan Jepak ke Sungai Kemena kini telah siap sepenuhnya dan dijangka memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat yang sebelum ini sering terjejas akibat banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, berkata projek bernilai RM7.3 juta ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh sistem saliran luar bandar melalui program mitigasi banjir.
“Untuk makluman, masa construction hari itu kita di dalam banjir pada 29 Januari tahun ini, kita memang di dalam banjir besar di bahagian pintu tu masa construction hari itu. Muara pada monsun ni, kita ditebatkan dahulu sebab untuk memastikan keadaan pembinaan ni tak terganggu lah, tapi disebabkan limpahan air yang banyak daripada kawasan Kampung Warisan menyebabkan sebahagian tempat telah dilanda banjir.
“Jadi pihak kita punya JKK dengan kebenaran pihak kontraktor dan pihak BDA kita pecahkan penutup di muara tu. Alhamdulillah air mulai surut, jadi kita melihat monsun ni amat berfungsi dan memberi impak yang besar kepada penduduk di kawasan terutamanya di Kampung Warisan, Jepak.” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau projek berkenaan bersama Penasihat Pejabat Premier Sarawak (Pemantauan Projek dan Program Luar Bandar), Dato’ Sri Rohani Abdul Karim di Kampung Warisan Jepak, Bintulu pada Rabu.
Menurut Iskandar, pelaksanaan projek tersebut terbukti memberi kesan positif apabila ia berjaya mengurangkan risiko banjir, terutamanya ketika hujan lebat.
Beliau menambah, fasa kedua projek berkenaan kini dalam perancangan bagi memperluas sistem parit monsun tersebut supaya aliran air dapat disalurkan terus ke Batang Kemena dengan lebih efisien. -TVS
