OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Gempa bumi Segamat: Jawatankuasa Teknikal Gempa Bumi wajar diaktifkan - JMG

Gempa bumi Segamat: Jawatankuasa Teknikal Gempa Bumi wajar diaktifkan - JMG

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Teknikal Gempa Bumi wajar diaktifkan semula bagi menyelaras usaha kajian dan penilaian semula risiko gegaran di Malaysia susulan insiden gempa bumi baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Datuk Zamri Ramli berkata jawatankuasa teknikal itu, yang dikoordinasikan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) boleh memperincikan semula data sedia ada bagi membolehkan kajian dan tindakan bersesuaian diambil.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan dicadangkan dianggotai pelbagai pihak daripada agensi teknikal seperti JMG, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Kerja Raya (JKR), ahli akademik serta badan profesional.
 
"Cadangan jawatankuasa ini penting bagi memperincikan semula data sedia ada (aktiviti tektonik dan sesar yang berpotensi aktif)," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
 
Jawatankuasa teknikal itu aktif kali terakhir pada 2020.
 
Zamri berkata siri gegaran di Segamat baru-baru ini merupakan isyarat penting yang tidak dijangka, apabila aktiviti tektonik mencetuskan proses pelarasan semula tekanan dalaman kerak bumi di sepanjang zon sesar berkenaan sehingga mengakibatkan gempa bumi.
 
 
Sehubungan itu, katanya, terdapat keperluan untuk mengkaji semula semua sesar lama di Malaysia, yang dianggarkan berusia antara 60 juta hingga 200 juta tahun.
"Antara tumpuan utama kajian ialah meneliti semula data sejarah ciri atau sifat sesar lama, menentukan kadar pergerakan (slip rate) serta panjang sesar bagi menganggar magnitud berpotensi," katanya.
 
Menurutnya, kajian microzonation dan pengemaskinian pemetaan sesar di kawasan berpotensi gegaran juga penting kerana impak gempa bumi berbeza mengikut lokasi walaupun dengan magnitud sama.
 
Beliau berkata JMG telah memulakan kerja lapangan di Johor dengan tumpuan awal di Segamat sebelum diperluaskan ke kawasan lain yang dikenal pasti berisiko.
 
Zamri turut menjelaskan terdapat beberapa kawasan utama di Malaysia yang mempunyai potensi risiko, selain faktor rentas sempadan iaitu gempa bumi dari negara jiran yang boleh memberi kesan dalam negara.
 
Beliau berkata kepakaran geodesi daripada JUPEM amat penting bagi menentukan sama ada berlaku perubahan atau peralihan kadar pergerakan sesar selepas gegaran berlaku.
 
Sejak 24 Ogos lalu, enam gempa bumi lemah direkodkan, dengan gegaran pertama dikesan di Segamat pada magnitud 4.1, disusuli gegaran bermagnitud 2.8 pada pagi hari sama.
 
Gegaran seterusnya direkodkan pada 27 Ogos (3.2), 28 Ogos (2.5), 29 Ogos (3.4) dan 30 Ogos (2.7).
 
-- BERNAMA
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search