Gempa Segamat boleh berulang
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Kejadian gempa bumi bermagnitud 4.1 yang melanda Segamat, Ahad lalu, menjadi peringatan penting bahawa Malaysia tidak kebal daripada gegaran walaupun terletak di luar zon tektonik aktif dunia.
Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya berwaspada dan kerajaan digesa meningkatkan kesiapsiagaan bencana kerana sehingga kini tiada teknologi yang mampu meramal dengan tepat bila atau di mana gempa akan berlaku.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohd. Akhmal Muhamad Sidek, walaupun Malaysia terletak di atas Pentas Sunda yang stabil, gegaran yang berlaku kelmarin berpunca daripada pergerakan sesar purba yang kembali aktif.
Bagaimanapun katanya, ia bukan amaran kepada gempa bumi besar dan orang ramai tidak perlu panik kerana kebanyakan gegaran di Semenanjung Malaysia berintensiti rendah dengan magnitud sekitar 2.0 hingga 5.0.
Magnitud 5.0 bermaksud gempa boleh dirasai tetapi tidak akan menyebabkan kerosakan yang besar.
“Malaysia tidak terletak di sempadan plat tektonik utama seperti Indonesia, Filipina atau Jepun yang sering dilanda gempa. Namun, gegaran kecil pernah direkodkan di Bukit Tinggi (Pahang), Kuala Pilah (Negeri Sembilan) dan Manjung (Perak).
“Jadi, gegaran yang dirasai semalam bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi tetap menarik perhatian kerana jarang berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Akhmal berkata, data rasmi MetMalaysia mengesahkan gempa bumi bermagnitud 4.1 di Segamat yang diikuti gegaran bermagnitud 2.8 di sekitar Kluang berlaku dalam Zon Sesar Mersing.
Katanya, sehingga kini, tiada bukti saintifik menunjukkan Semenanjung Malaysia berisiko mengalami gempa bumi besar seperti di negara jiran.
Namun, kajian pemetaan yang lebih terperinci perlu dijalankan untuk mengenal pasti kedudukan sesar purba kerana kebanyakan gegaran berpunca daripada rekahan di dalam kerak bumi.
Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, berkata, gempa bumi bermagnitud 4.1 di Segamat dan gegaran susulan bermagnitud 2.8 di Yong Peng merupakan kejadian pertama direkodkan di kawasan berkenaan.
Katanya, gegaran berskala kecil yang turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana Malaysia masih terdedah kepada gegaran ringan akibat struktur geologi dalaman.
“Sehingga kini, tiada teknologi yang dapat meramal dengan tepat bila dan di mana kejadian gempa bumi akan berlaku.
“Kebanyakan garis sesar di Malaysia juga dikategorikan sebagai sesar tidak aktif, sekali gus mengurangkan risiko berlakunya gempa bumi yang lebih kuat atau berulang.
“Berdasarkan kajian dan data sedia ada, kemungkinan berlakunya lebih banyak gempa bumi di negara ini adalah rendah,” katanya. – UTUSAN