OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Penduduk kongsi pengalaman rasai gempa ketika solat Subuh

Penduduk kongsi pengalaman rasai gempa ketika solat Subuh

SEGAMAT, 24 Ogos: Penduduk di daerah ini memberitahu bunyi kuat disusuli gegaran pada pukul 6.15 pagi tadi pada mulanya disangka guruh.

Seorang peniaga, Ahmad Asri Talib, 52, yang tinggal di Taman Pawana, Kampung Tengah berkata, gempa bumi kecil itu menyebabkan tingkap dan pintu rumahnya bergegar seolah-olah ditendang.

“Selepas itu dengar bunyi tingkap dan sliding door pula bergegar lebih kurang selama 20 saat.

“Saya kemudian keluar rumah dan nampak jiran juga keluar, suasana jadi kecoh, barulah kami sedar ada gempa,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Ahmad Asri, dia tidak menyangka berlaku gegaran seterusnya pada pukul 9 pagi ketika bersarapan di sebuah kedai di Pekan Jabi.

“Saya rasa pening ketika gegaran kali kedua, tidak sangka berlaku selepas tiga jam gegaran pertama.

“Saya kemudian memeriksa amaran gempa bumi dan tsunami di laman Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tetapi tiada amaran dikeluarkan” ujarnya.

Jelasnya, gegaran gempa bumi kali ini mengingatkan gegaranpada tahun lalu di situ.

“Enam hingga tujuh kali saya rasa gegaran pada 2-24, setiap kali gegaran tingkap dan pintu bergegar sekitar dua saat.

“Mulanya kami anggap letupan kuari namun setahu saya, di sini tidak ada kuari cuma banyak bukit berbatu,” katanya.

Ahmad Asri berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan memasang alat pengesan gempa bumi sebagai langkah awal mengesan gegaran di sini.

Terdahulu, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran lemah kedua pada 9 pagi di Kluang dengan magnitud 2.8.

Sementara itu jemaah di Surau Kampung Sanglang, Buloh Kasap turut berkongsi detik cemas ketika gempa pada pukul 6.13 pagi tadi.

Imam surau, Saniman Abdul Samad, 63, berkata, semasa gegaran berlaku mereka hampir selesai solat Subuh.

“Kami sedang tahiyat akhir, sebelum memberi salam, saya rasa gegaran yang agak kuat.

“Selepas itu bunyi dentuman kuat. Kami terkejut apabila nampak ‘skirting’ (kemasan) siling surau jatuh.

“Mujur tidak kena jemaah.Ini pengalaman pertama saya merasa gempa bumi,” katanya.

Sementara itu, jemaah di Surau Batu 2, Kampung Tengai di sini turut gempar apabila merasai gegaran ketika solat berjemaah.

Imam surau berkenaan, Mohd Johan Hassan, 58, berkata, semasa bacaan surah al-Mulk ayat ke-8 pada rakaat pertama, dia menyedari lantai bergegar.

“Macam ada benda hendak jatuh, lantai pun terasa bergegar tetapi kami tetap teruskan solat,” katanya. -TVS.

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search