Negara perlu dasar jelas pengurusan buangan REE, elak bencana besar kesan perlombongan
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Negara perlu mempunyai satu dasar yang jelas berhubung kaedah pengurusan bahan buangan unsur nadir bumi (REE), bagi mengelak sebarang bencana besar kesan perlombongan bahan terbabit.
Sehubungan itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata satu kajian terperinci dan analisis berhubung aspek terbabit sedang dilaksanakan.
Katanya, ia melalui penubuhan 'pembuktian konsep perlombongan' di kawasan seluas 109 hektar di Perak untuk melihat kesan lebihan air yang dikeluarkan hasil perlombongan.
"Setakat ini, kita belum ada apa-apa teknologi untuk memproses REE. Kita hanya mencuba untuk melombong. Lesen eksport melombong memerlukan (kelulusan) kerajaan Persekutuan.
"Sudah tentu inisiatif diambil kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap perlombongan ini (selamat) sebelum dibuka secara besar-besaran. Pada 1975 dan 1999, perlombongan di Ranau, Sabah, apa yang berlaku sisanya kalau tidak dikawal akan menyebabkan bencana besar-besaran.
"Jadi di Perak ini, analisis sedang dibuat untuk melihat lebihan air yang dikeluarkan dari perlombongan ini. Selepas keluar 'cake' (ketulan) REE, ia akan diproses di China kerana kita tiada tempat untuk proses, namun kita perlu lihat lebihan air ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang ingin tahu kerjasama dilaksanakan antara kerajaan Persekutuan bagi membantu usaha negeri menjayakan perlombongan REE sebagai hasil sumber baharu.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata beliau sudah berbincang dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkaitan 'pembuktian konsep perlombongan' bagi melihat kesan lebihan air daripada perlombongan itu kepada bidang pertanian dan penternakan.
"Saya berbincang dengan Menteri Besar Perak untuk memberikan saintis kita tiga ekar (1.2 hektar) tanah bagi tanaman kelapa sawit, getah dan ternakan ikan.
"Kita hendak ambil lebihan air (perlombongan) dan menggunakannya untuk pertanian dan perikanan untuk melihat kesannya,"katanya.
Menjawab soalan asal Alias mengenai status kajian untuk membenarkan aktiviti perlombongan REE di Hutan Simpan Kekal (HSK), Johari berkata, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) melaksanakan kajian impak aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan.
Katanya, kajian itu bertujuan menyediakan asas saintifik dan teknikal bagi pertimbangan dasar berkaitan larangan perlombongan di HSK, Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan kawasan rizab perlindungan.
"Sehingga kini, tiada mana-mana aktiviti perlombongan REE di HSK. Jadi pasukan saintis dan penyelidik diketuai FRIM akan pergi ke HSK di Labis untuk melihat perkara yang perlu dibuat sebelum, semasa dan selepas aktiviti terbabit.
"Prosedur operasi standard (SOP) perlu dijaga supaya isu termasuk Ranau tidak berlaku lagi,"katanya.
Johari berkata, FRIM turut menjalankan kajian jangka pendek pada tahun lalu di kawasan ladang getah di Mukim Kenering, Perak yang menggunakan kaedah perlombongan larut lesap.
Katanya, pengumpulan data ulangan bagi tahun ini sedang dilaksanakan bagi membandingkan dapatan awalan dan terkini dengan aktiviti dijangka selesai pada bulan depan bagi tujuan pelaporan pada Oktober ini.
"Bagaimanapun, FRIM masih perlu menilai impak perlombongan di kawasan hutan asli sebelum merumuskan kajian secara keseluruhan," katanya.
Berhubung soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berhubung pelaksanaan dasar lebih jelas khususnya dalam aspek untuk perlombongan REE melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim, Johari berkata, ia akan dibawa ke Parlimen, selepas pembentangan Belanjawan 2026, Oktober ini.