SAR warga emas hilang di Laut Sundar diteruskan
- Admin UKK
- Berita
LAWAS, 15 Ogos: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas, Assan Osman, 65, yang dilaporkan hilang di perairan Laut Sundar semalam, digerakkan semula seawal jam 7 pagi hari ini dengan penyertaan pelbagai agensi penyelamat.
Menurut Komander Operasi, PPgB Clarence D. Primus Tiandun, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) telah diaktifkan dengan taklimat penyelarasan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sarawak Coast Guard.
“Dua bot iaitu Bot Fiber 40 bomba dan Bot Aluminium APM digerakkan menyusuri radius pencarian seluas 4 km dengan perimeter 9 km.
“Sehingga kini mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi SAR disertai oleh lapan anggota bomba, enam anggota polis, enam anggota APM, sembilan anggota Sarawak Coast Guard dan seorang wakil dari PDK Sundar.-TVS