OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tangani kesan perubahan iklim terhadap bencana alam

Tangani kesan perubahan iklim terhadap bencana alam

PERUBAHAN iklim merupakan isu global yang memberi kesan terhadap bencana alam iaitu dari segi kekerapan dan keamatan yang berlaku. Bencana alam seperti tanah runtuh, gempa bumi, banjir dan peningkatan aras laut merupakan fenomena alam yang berlaku secara semula jadi yang boleh memberi kesan kemusnahan yang besar dan memberi ancaman kepada harta benda dan kehidupan manusia.

Kejadian bencana alam juga boleh dipengaruhi oleh aktiviti manusia yang menjadi pemangkin kepada bencana tersebut. Faktor geologi dan persekitaran merupakan faktor utama yang mempengaruhi kejadian bencana alam. Walau bagaimanapun, perubahan iklim memberi kesan secara tidak langsung kepada faktor geologi dan persekitaran seterusnya meningkatkan kekerapan dan keamatan bencana alam.

Pemanasan global merupakan kesan utama perubahan iklim yang menyebabkan peningkatan penyejatan air laut dan air di permukaan tanah. Hasilnya, kadar kelembapan atmosfera semakin meningkat seterusnya mengakibatkan peningkatan kekerapan dan keamatan hujan.

Secara tidak langsung kesan utama dari fenomena ini adalah peningkatan risiko berlakunya banjir kilat di sesuatu kawasan terutama apabila berlaku hujan lebat walaupun dalam tempoh yang singkat.

Hujan juga merupakan faktor utama pemacu tanah runtuh di Malaysia. Peningkatan keamatan dan kekerapan hujan secara tidak langsung menyebabkan peningkatan pada kekerapan tanah runtuh dengan kesan kemusnahan yang semakin besar.

Peningkatan jumlah hujan menyebabkan lapisan tanah cerun diresapi air semakin meningkat seterusnya mengganggu kestabilan cerun yang boleh mencetuskan kegagalan cerun.

Peningkatan paras laut juga memberi kesan secara langsung kepada peningkatan kejadian banjir dan hakisan pantai, seterusnya boleh memusnahkan infrastruktur dan kehilangan tanah di kawasan terlibat.

Lebih membimbangkan, peningkatan kadar hakisan pantai juga boleh menggugat kestabilan cerun dan tebing di kawasan pantai seterusnya mencetuskan bencana tanah runtuh serta menyebabkan kesan bencana alam lain seperti tsunami.

Punca-punca utama perubahan iklim perlu dikenal pasti terutama dari segi aktiviti manusia yang merupakan faktor boleh kawal. Pembangunan yang dilakukan demi kemajuan negara perlu menitikberatkan kelestarian alam sekitar untuk mengawal kesan perubahan iklim. Selain itu, kita perlu meningkatkan daya tahan terhadap bencana alam bagi menjamin masa depan yang lebih selamat dan lestari.

Kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah dalam menangani perubahan iklim merangkumi pelbagai aspek seperti pengurangan pelepasan gas rumah hijau, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pemeliharaan alam sekitar, serta peningkatan kesedaran dan pendidikan awam mengenai perubahan iklim.

Kerajaan juga memperkenalkan Pelan Adaptasi Kebangsaan untuk perubahan iklim bagi meningkatkan ketahanan dan persediaan negara terhadap kesan perubahan iklim. Antara pelan yang diperkenalkan adalah pembinaan infrastruktur yang tahan iklim, peningkatan pengurusan sumber air, serta pengurusan pertanian dan sekuriti makanan. Pelan yang diperkenalkan ini merupakan usaha mampan dari kerajaan bagi mengurangkan kerentanan terhadap kesan buruk perubahan iklim.

Walau bagaimanapun, ia memerlukan kerjasama seluruh rakyat Malaysia dan pelbagai agensi bagi memastikan pelan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan seterusnya dapat membantu mengawal dan mengurangkan risiko bencana alam dan kesan buruk dari perubahan iklim. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search