Jengkaut bukan penyebab kebakaran besar Putra Heights, MB beritahu DUN Selangor
- Admin UKK
- Berita
Menteri Besar Amirudin Shari, berkata siasatan polis dan dapatan Jabatan Mineral dan Gas (JMG) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengesahkan kerja di atas tanah tidak menyebabkan isu kepada saluran gas tersebut.
Beliau berkata, ini kerana paip saliran monsun yang terletak di atas paip gas tidak terkesan.
“Mengikut semakan saya dengan pihak berkuasa tempatan taman perumahan dan pembinaan paip monsun yang berukuran 4.2m dari segi diameter dijalankan sekitar 2008 dan 2009, iaitu sebelum penubuhan Pusat Unit Setempat pada 2010,” katanya pada sesi penerangan insiden Putra Heights di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Amirudin turut menjelaskan dakwaan bahawa syarikat pemaju membina rumah kedai dan membuat kerja tanpa kebenaran di sekitar kawasan seliaan Petronas Gas Berhad (PGB) itu adalah tidak benar, malah syarikat itu telah menerima kebenaran melaksanakan kerja berkenaan, pada 20 Mac 2025.
Beliau turut menafikan dakwaan berhubung pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) tidak menepati kriteria apabila meluluskan Kebenaran Merancang melibatkan kawasan seliaan Petronas dan berkompromi terhadap zon penampan.
Beliau berkata, zon penampan ditetapkan PGB adalah 60 kaki sedangkan di kawasan Putra Heights, zon penampan yang ditetapkan ialah sebanyak 66 kaki, melebihi enam kaki daripada syarat ditetapkan.
Sebelum ini, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP Husdin Che Amat dilaporkan, berkata keadaan tanah di bawah paip yang lemah dan tidak menyokong sepenuhnya struktur paip merupakan punca bagi insiden itu.