Hujan lebat monsun di India ragut 18 nyawa
- Admin UKK
- Berita
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 18 maut sejak Isnin, apabila hujan lebat melanda beberapa kawasan di negeri Gujarat, barat India.
Pasukan tindak balas bencana dikerahkan untuk membantu penduduk di selatan negeri itu, yang kini bersiap sedia menghadapi lebih banyak hujan lebat monsun.
“Sebanyak 18 orang terkorban dalam insiden berkaitan hujan, manakala puluhan lagi diselamatkan di seluruh kawasan rendah oleh pasukan tindak balas bencana,” kata kerajaan negeri dalam satu kenyataan, semalam.
Kawasan paling teruk terjejas termasuk bandar Palitana dan Jesar, yang mencatatkan 867 milimeter hujan dalam tempoh 24 jam lalu.
Pesuruhjaya Bantuan Negeri, Alok Kumar Pandey berkata, 18 kematian itu berpunca daripada ribut, panahan petir dan runtuhan struktur akibat cuaca buruk.
“Negeri ini bersedia sepenuhnya untuk menangani situasi, dan penyelarasan antara jabatan sedang dipergiatkan bagi memastikan operasi bantuan dan menyelamat dijalankan dengan pantas,” kata Pandey.
Musim monsun tahunan di India yang berlaku pada Jun hingga September memberikan kelegaan daripada cuaca panas melampau dan tempoh penting untuk menambah bekalan air.
Namun, setiap tahun puluhan nyawa terkorban sepanjang musim hujan akibat banjir kilat dan tanah runtuh di seluruh India, yang mempunyai 1.4 bilion penduduk.- AFP