Cuaca tidak menentu hingga pertengahan Mei
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Negara diramal terus mengalami cuaca panas pada waktu tengah hari diikuti hujan serta ribut petir pada sebelah petang sehingga pertengahan Mei ini susulan fasa peralihan monsun.
Sejurus tamatnya fasa berkenaan, Malaysia dijangka memasuki Monsun Barat Daya bermula pertengahan Mei hingga September yang lazimnya membawa cuaca kering dan taburan hujan rendah di kebanyakan kawasan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, suhu tinggi yang dialami ketika ini bagaimanapun masih tidak seteruk tahun lalu yang menyaksikan beberapa kawasan mencatatkan suhu ekstrem.
“Telah menjadi kelaziman ketika fasa ini, cuaca panas berlaku pada waktu tengah hari dan awal petang, manakala keadaan menjadi lebih lembap pada sebelah petang serta awal malam.
“Ini disebabkan kurangnya litupan awan pada waktu pagi hingga tengah hari sebelum awan ribut petir mula terbentuk dan membawa hujan lebat serta ribut pada lewat petang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, cuaca panas luar biasa yang melanda negara ketika ini disifatkan sebagai antara kesan nyata pemanasan global yang semakin ketara.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, cuaca panas yang disusuli hujan lebat serta ribut hingga menyebabkan banjir kilat merupakan fenomena luar biasa yang kini semakin kerap berlaku.
Sementara itu, Mohd. Hisham berkata, susulan Monsun Barat Daya, cuaca panas boleh berlaku di mana-mana kawasan di negara ini. Bagaimanapun, kawasan utara dan pedalaman Semenanjung lazimnya paling terkesan.
“Fasa peralihan monsun dijangka berakhir pada pertengahan Mei dan akan digantikan dengan Monsun Barat Daya yang membawa cuaca panas dan kering serta taburan hujan yang rendah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta mengikuti maklumat terkini yang disalurkan oleh MET Malaysia.
Katanya, MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan amaran awal sekiranya terdapat perkembangan yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan awam.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi MET Malaysia termasuk laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial jabatan,” katanya. – UTUSAN