OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Selangor laksana 11 langkah drastik mitigasi banjir di tiga kawasan kritikal

Selangor laksana 11 langkah drastik mitigasi banjir di tiga kawasan kritikal

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan melaksanakan 11 langkah segera mitigasi banjir membabitkan kawasan kritikal di negeri ini seperti Taman Sri Muda, Meru dan Taman Seri Alam yang kerap dilanda bencana itu.
 
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata keputusan itu diperolehi menerusi Mesyuarat Koordinasi Khas yang diadakan semalam membabitkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, beberapa ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan serta agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.
 
Beliau berkata dalam mesyuarat itu, JPS telah membentangkan perancangan jangka panjang, sederhana dan langkah-langkah segera bagi menangani isu banjir di tiga kawasan terbabit.
 
"Bagi kawasan Meru, parit dan longkang tidak bertuan akan disenggara dan pemasangan flap gate di Sungai Binjai membabitkan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar.
 
"Pam penggalak di Sungai Binjai juga akan diaktifkan operasi, selain melakukan pengalihan utiliti di dalam Sungai Binjai," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Bagi Taman Sri Muda, Izham berkata langkah penyelesaian segera yang akan diambil adalah menaik taraf sistem saliran dalaman ke tahap perlindungan yang lebih tinggi sekurang-kurangnya 20 ARI (Average Recurrence Interval) bagi keseluruhan taman itu.
 
"Pada masa sama, flap gate yang telah rosak di outlet ke Sungai Klang juga akan diganti, Kolam Takungan Taman Sri Muda akan dibesarkan, pengukuhan dan menaik taraf ban tanah di tebing Sungai Klang dan pembinaan ban tanah di tebing Sungai Rasau.
 
"Langkah lain ialah penguatkuasaan pencerobohan tanah rizab tepi sungai dan pengalihan kabel utiliti atau paip yang menghalang longkang dan menaik taraf sistem automasi pintu kawalan air nombor tiga," katanya.
 
Izham memaklumkan JPS Selangor turut membentangkan status kemajuan kerja-kerja pembaikan Kolam Takungan Banjir Hillpark, Puncak Alam yang telah pecah kali kedua mengakibatkan banjir di Taman Seri Alam, awal pagi semalam.
 
Beliau berkata pihak Hillpark Resources melalui perbincangan bersama JPS Selangor dan persatuan penduduk taman berkenaan telah mencadangkan beberapa langkah segera bagi mengatasi masalah kolam takungan pecah yang akan dilaksanakan serta-merta pada minggu ini.
 
Izham berkata beliau akan memantau sendiri kemajuan serta langkah-langkah jangka panjang dan langkah segera yang dipersetujui dilaksanakan di kawasan terbabit.
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search